Bugatti Baby II - tiga varian, bermula dari RM143 ribu!

oleh Mohamad Hanif|
Bugatti Baby II
Setelah diperlihatkan pada pertengahan tahun yang lalu, Bugatti akhirnya bersedia untuk 'melepaskan' model paling mampu milik mereka kepada umum, iaitu Bugatti Baby II - sebuah model berskala 3/4 berbanding model asal Type 35.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Biarpun bersaiz kecil, ia sebenarnya boleh dioperasikan oleh orang dewasa mahupun kanak-kanak.

Walaupun ia bertaraf kereta 'mampu milik', Bugatti tidak pernah memandang remeh terhadap penawarannya, di mana terdapat sehingga tiga varian yang boleh dipilih dan disesuaikan spesifikasinya mengikut baki akaun bank anda.

 


Model asas hadir dengan binaan badan daripada bahan komposit, pek bateri 1.4 kWh, sistem brek regeneratif, LSD dan trenkuasa elektrik yang menampilkan dua mod pemanduan iaitu Novice dan Expert.

Mod Novice direka untuk golongan muda yang baru berjinak dengan kelajuan dan kuasa dihadkan kepada 1.3 hp sahaja dengan kelajuan maksimum 19.3 km/j.

Sementara mod Expert pula menawarkan kuasa sehingga 5.4 hp dan kelajuan maksimum sehingga 48 km/j. Manakala jarak operasi pula hanyalah sekitar 25 km sahaja.

Varian pertengahan dikenali sebagai Vitesse dan menerima penambahan ciri seperti binaan badan daripada gentian karbon, pek bateri 2.8 kWh dan kuasa yang mampu mencapai 13.4 hp dan kelajuan tertinggi 68 km/j, sementara jarak operasi pula meningkat kepada 50 km untuk sekali cas penuh.

 


Varian tertinggi Pur Sang pula dikhususkan kepada para pengumpul, di mana ia menampilkan trenkuasa yang sama seperti varian Vitesse, namun dengan binaan kerangka badan aluminium menggunakan tenaga tangan - teknik yang sama digunakan pada model asal Type 35.

Difahamkan, lebih 200 jam diperlukan untuk membina dan menyiapkan struktur ini, menurut Bugatti.

Dua varian tertinggi itu tadi turut didatangkan dengan "Speed Key" yang membolehkan pengguna mematikan fungsi speed limiter dan mencapai kelajuan tertinggi 68 km/j pada Baby II ini.

 


Binaan Bugatti Baby II bermula daripada proses pengimbasan digital terhadap model asal Bugatti Type 35 1924 yang bertanding di kejuaraan Lyon Grand Prix, di mana para pereka menambah beberapa cagak untuk trenkuasa, pek bateri yang boleh dicabut serta penyerap hentak boleh laras.

Malah, rim aloi lapan batang juga mengikut bentuk asal rim yang terdapat pada kereta original sebelum dibaluti dengan tayar Michelin.

Sementara kokpit Baby II pula menampilkan roda stereng empat batang yang klasik, papan pemuka aluminium, dan meter kustom Bugatti yang terdiri daripada meter kelajuan, indikasi tahap kuasa bateri dan meter kuasa yang dikongsi daripada hypercar Veyron.

 


Ia juga memiliki ciri moden seperti hon, cermin pandang belakang, brek tangan, lampu utama, dan kawalan jauh yang boleh 'mematikan' kuasa kereta pada jarak 50 meter, sementara di bahagian hadapan menampilkan logo 'Macaron' yang diperbuat daripada 50 gram perak padu.

Terdapat sehingga 21 warna luaran yang boleh dipilih untuk para pembeli Bugatti Baby II, dan lapan kemasan upholsteri dalaman.

Bugatti Baby II dihadkan produksinya kepada 500 unit sahaja, dan menurut Bugatti lagi masih terdapat beberapa slot yang masih kosong untuk diisi oleh mereka yang berminat.

Namun, harus diingat, harga jualan bermula dari £27,000 (RM147,403) untuk varian asas, £40,000 (RM218,375) untuk varian Vitesse dan £53,000 (RM289,347) untuk varian Pur Sang, tidak termasuk cukai.

 


Ini bermakna, jika anda mahu mendapatkan model paling premium termasuk dengan cukai yang berkaitan, anda kini membayar harga yang sama dengan sebuah model baharu Porsche 718 Cayman GTS bersaiz penuh!

Berita Berkenaan

Berita Global
  Sewaktu dilancar pada 1924, Type 35 hadir dengan pelbagai inovasi teknikal yang telah…
Berita Global
  Dari situ lahir Chiron Super Sport ‘57 One of One’ dan kisah di sebaliknya memang menarik.…
Berita Global
  Dibekalkan kuasa tinggi dan sebagai sebuah kereta litar hiper, Bolide menggunakan monokok…