Menurut Giorgetto Giugiaro, EB112 membawa sejumlah ciri-ciri nostalgik Bugatti era lewat 30-an dan dipersembahkan dalam sebuah kereta dengan teknologi inovatif.
EB112 adalah pelopor kepada falsafah form follows performance yang dipegang Bugatti pada hari ini.
Menariknya, EB112 sekarang ini dianggap sebagai pendahulu atau pencetus warisan kepada kedua-dua Veyron dan Chiron.
Sebagai contoh jeriji EB112 menjadi asas kepada rekaan jeriji Veyron sepuluh tahun kemudian.
Tulang panjang dari bonet hingga ke cermin belakang EB112 yang dibuat sebagai perakuan kepada rekaan Type 57 SC Atlantic dilahirkan semula pada Veyron dan Chiron.
Seperti yang dikatakan, bentuk dan perincian EB112 membawa ciri-ciri model Bugatti terdahulu dan tidak hairan mengapa kereta ini dikagumi dan diperakui sebagai model hebat.
Ciri-ciri tersebut digabung pula dengan teknologi revolusi.
Badan EB112 dibuat dari aluminium dan dipadan dengan monokok gentian karbon sama seperti EB110 yang dikeluarkan pada 1991.
Kedua-dua teknologi tersebut suatu yang luar biasa dalam segmen kereta sport awal 90-an dan ciri baharu untuk sebuah kereta salun pada masa itu.
Di sebalik rekaan badan klasik, EB112 digerakkan enjin 6.0 liter V12, 60 injap dengan lima unit setiap silinder.
Enjin naturally-aspirated itu dipadan bersama transmisi manual enam kelajuan dan sistem pacuan empat roda canggih.
Angka 460 kuasa kuda (hp) dan tork 590Nm dari serendah 3,000 rpm meletakkan EB112 lebih hebat berbanding model salun berprestasi tinggi lain.
Kelajuan maksimum 300 kilometer sejam (km/j) tidak mustahil dicapai dan pecutan dari 0 hingga 100 km/j hanya perlu 4.3 saat.
Sistem pacuan EB112 yang disesuaikan dari EB110 mempunyai pisahan daya kilas 38 peratus di depan dan 62 peratus di belakang.
Keupayaan itu dipertingkat dengan nisbah pembahagian berat. Jurutera Bugatti meletakkan enjin V12 ke belakang mungkin di antara gandar untuk bentangan depan-tengah.
Ciri-ciri hebat EB112 diperakui dan Giorgetto Giugiaro membantu menghidupkan semula jenama Bugatti pada 1998 melalui model konsep coupé EB118.
Pada masa itu Bugatti sudah beralih tangan kepada Kumpulan Volkswagen dan Giorgetto Giugiaro sekali lagi merekabentuk model empat pintu iaitu EB218.
Adakah Bugatti empat pintu ini wujud di jalan raya? Khabarnya ada tiga buah termasuk warna merah yang dimiliki Italdesign.
Daripada tiga buah tersebut hanya satu dihomologasi dan digunakan di atas jalan raya awam.
Bugatti sekarang ini dibawah kepimpinan Mate Rimac dan model ikonik seperti EB112 dan wawasan yang dipegang Giorgetto Giugiaro akan terus dijadikan inspirasi.
Penulis: Muhammad Md Tajudin