Jika berkenan dengan gaya Atto 3 tetapi mahukan model lebih kecil BYD menawarkan Yuan Up yang diperkenal di China pada Februari 2024.
Tidak perlu genapkan setahun, BYD membawa Yuan Up versi antarabangsa iaitu Atto 2 ke Pameran Kenderaan Brussels, Belgium untuk diperkenal di Eropah.
Atto 2 berukuran panjang 4,310 milimeter (mm), lebar 1,830 mm dan tinggi 1,675 mm. Ukuran ini setara Proton X50.
Atto 2 145 mm lebih pendek dan 45 mm lebih langsing berbanding Atto 3. Jarak roda 2,720 mm atau 100 mm lebih pendek daripada Atto 3.
Reka bentuk Atto 2 seperti biasa dengan garisan lembut namun berjaya menyorokkan lekukan badan dan bahu yang berotot.
Sisi kereta menonjol dengan riasan pada pendakap bawah. Tiang C berkaca tidak bertemu pada hujung dan ibarat bumbung yang terapung.
Bahagian belakang ringkas kecuali bampar dan lampu dengan corak ikatan China dan seperti nombor lapan. Spoiler kecil lebih cantik jika disorokkan di bawah spoiler.
Atto 2 didatangan dalam empat warna iaitu Climbing Grey, Hiking Green, Skiing White dan Cosmos Black.
Pada bahagian dalam tiada tali gitar seperti Atto 3. Papan pemuka direka ringkas dan skrin tengah tidak terkeluar ke atas seperti kenderaan lain dan memberi pandangan sekata.
Skrin juga selari dengan stereng. Satu yang nampak aneh apabila corong penyaman udara agak jauh di bawah skrin.
Pelantar e-Platform 3.0 dengan lantai rata menjadikan bahagian kaki tidak terhalang.
Ruang bagasi mempunyai kapasiti 400 liter dan bertambah kepada 1,340 liter apabila kerusi belakang direbahkan.
Atto 2 menggunakan Blade Battery dan binaan Cell-to-Body (CTB) dan pertama untuk model kompak BYD.
Bateri dipakejkan sebagai casis kenderaan dan penutup atas dijadikan lantai untuk penumpang.
Bateri 45.1 kilowatt-jam (kWj) membekalkan tenaga untuk pemanduan sehingga 312 kilometer (kombinasi WLTP). Motor depan menghasilkan 130 kW.
Pilihan bateri lebih besar dan jarak lebih jauh akan ditawarkan kemudian. Sesudah Eropah, adakah Atto 2 bakal dibawa ke pasaran tempatan?
Penulis: Muhammad Md Tajudin