Terdapat rancangan untuk menghasilkan model kenderaan elektrik serta model hibrid yang menggunakan gabungan petrol dan tenaga elektrik.
"Projek ini pasti akan menyokong usaha Kemboja dalam meningkatkan penggunaan EV seperti yang digariskan dalam dasar EV kami dan merupakan satu langkah positif," kata Timbalan Ketua Pengarah, Jabatan Pengangkutan Darat Kementerian Kerja Raya dan Pengangkutan, Kong Sophal kepada Bernama.
'Build Your Dreams' atau singkatannya BYD, ditubuhkan pada 1994 merupakan peneraju dunia dalam kenderaan elektrik dan hibrid 'plug-in' serta merupakan syarikat tersenarai dalam Fortune Global 500, menurut laman sesawang korporatnya.
Loji baharu ini dijangka mewujudkan peluang pekerjaan untuk rakyat Kemboja dan memacu segmen kenderaan penumpang elektrik, selari dengan usaha kerajaan untuk membangunkan rangkaian pengangkutan yang lebih mesra alam.
Menurut Kementerian Kerja Raya dan Pengangkutan, sebanyak 2,253 buah kenderaan elektrik peribadi didaftarkan di negara itu pada tahun lalu.
Kerajaan Kemboja melancarkan 'Pelan Hala Tuju EV Kemboja' dengan sasaran untuk mencapai 800,000 kenderaan elektrik menjelang 2030.
Kemboja juga mempunyai strategi jangka panjang untuk mencapai neutral karbon dan menyasarkan pengenalan 70 peratus motosikal elektrik serta 40 peratus kereta dan bas menjelang 2050.
Dengan menggaji kira-kira 100,000 jurutera dan juruteknik di 11 institusi penyelidikan, BYD memiliki pasukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) terbesar di dunia.