BYD Dakwa Teknologi Baharu Mampu Cas EV Dalam Lima Minit Sahaja

oleh Qalif Latif|
Pengeluar kenderaan elektrik dari China, BYD, mendakwa telah mencapai satu lagi pencapaian penting dalam teknologi bateri apabila memperkenalkan Blade Battery 2.0 bersama sistem pengecasan ultra pantas baharu yang dikenali sebagai FLASH Charging.

Gabungan teknologi ini dikatakan mampu mengurangkan masa pengecasan kenderaan elektrik secara drastik, malah membolehkan “isi tenaga” EV dilakukan hampir sepantas mengisi minyak kenderaan petrol.

Menurut BYD, sistem ini direka untuk menghapuskan salah satu halangan terbesar dalam penggunaan EV secara meluas iaitu masa pengecasan yang lama.

FLASH Charging

 

Pengecasan EV Sepantas Isi Minyak

Teknologi tersebut mampu membolehkan kenderaan elektrik dicas daripada 10 peratus ke 70 peratus dalam masa sekitar lima minit sahaja dalam keadaan optimum.

Selain itu, pengecasan daripada 10 peratus ke 97 peratus pula boleh dicapai dalam kira-kira sembilan minit.

Walaupun dalam keadaan suhu bawah sifar, sistem ini masih mampu mengecas bateri dari 20 peratus ke 97 peratus dalam sekitar 12 minit.

Sistem ini diperkenalkan bersama stesen pengecasan berkuasa tinggi 1,500 kW yang menyokong teknologi FLASH Charging.

Pengerusi dan Presiden BYD, Wang Chuanfu, berkata industri automotif masih perlu menyelesaikan isu kelajuan dan kebolehpercayaan pengecasan jika mahu mempercepatkan penggunaan EV secara global.

FLASH Charging

 

Blade Battery 2.0 Lebih Padat Tenaga

Blade Battery 2.0 turut menawarkan peningkatan dari segi kepadatan tenaga. BYD menyatakan bateri generasi baharu ini mempunyai kira-kira lima peratus peningkatan energy density berbanding versi asal.

Dengan peningkatan tersebut, kenderaan yang menggunakan bateri ini boleh mencapai jarak pemanduan melebihi 621 batu (1,000 km) berdasarkan kitaran ujian CLTC di China.

Jika diterjemahkan kepada standard ujian EPA Amerika Syarikat, angka tersebut dianggarkan masih mampu melepasi jarak lebih 644 km.

Blade Battery 2.0

 

Teknologi FlashPass Percepat Pergerakan Ion

Antara teknologi utama yang menyumbang kepada peningkatan prestasi ini ialah sistem pengangkutan ion yang dipanggil FlashPass.

Sistem ini menggunakan cathode, electrolyte dan anode yang direka khas bagi mengurangkan rintangan dalaman serta pembentukan haba dalam bateri.

Hasilnya, pergerakan lithium-ion dalam bateri menjadi lebih pantas sekali gus membolehkan pengecasan ultra cepat dicapai.

Reka Bentuk Lebih Selamat dan Tahan Lama

Dari sudut keselamatan pula, BYD mendakwa bateri ini lebih tahan dan selamat.

Ia dikatakan telah melalui beberapa ujian keselamatan termasuk pengecasan flash secara serentak serta ujian penembusan paku tanpa berlaku thermal runaway, asap atau kebakaran.

Rangkaian Stesen FLASH Charging Diperluas

Selain teknologi bateri dan pengecasan, perkakasan stesen pengecasan juga direka untuk lebih mudah digunakan.

FLASH Charger menggunakan sistem kabel overhead berbentuk T yang memastikan kabel tidak menyentuh tanah dan memudahkan pemandu menyambungkan pengecas kepada kenderaan.

Blade Battery 2.0

 

Setakat ini, BYD telah memasang lebih 4,200 stesen pengecasan baharu tersebut di China.

Syarikat itu juga merancang untuk menambah kira-kira 20,000 lagi stesen menjelang akhir tahun.

Stesen pengecasan ini dilengkapi sistem storan tenaga yang membolehkan kuasa pengecasan ultra tinggi disalurkan walaupun grid elektrik tempatan mempunyai had kapasiti.

Model pertama yang dijangka menggunakan teknologi ini di Eropah ialah Denza Z9GT, sebuah wagon elektrik premium daripada sub-jenama mewah BYD, Denza.

Maklumat lanjut mengenai pelan peluasan teknologi pengecasan ini ke pasaran global dijangka diumumkan dalam masa terdekat.


 

Berita Berkenaan

Berita Global
Perkara itu disahkan oleh Naib Presiden Eksekutif BYD, Li Ke, yang menyatakan bahawa perbincangan…
Berita Domestik
Terletak di Jalan Macalister, lokasi itu menampilkan konsep unik apabila sebuah bangunan bersejarah…
Sukan Bermotor
F1 Semakin Beralih Ke Elektrifikasi Sejak lebih sedekad lalu, jentera Formula 1 telah menggunakan…