F1 Semakin Beralih Ke Elektrifikasi
Sejak lebih sedekad lalu, jentera Formula 1 telah menggunakan sistem kuasa hibrid. Namun bermula musim 2026, perubahan besar pada peraturan power unit menjadikan peranan kuasa elektrik jauh lebih dominan.
Komponen MGU-K (Motor Generator Unit – Kinetic) kini mampu menyalurkan sehingga 350 kW kuasa ke roda belakang, hampir tiga kali ganda berbanding 120 kW sebelum ini.
Ini bermakna kira-kira separuh daripada jumlah kuasa keseluruhan jentera F1 kini datang daripada motor elektrik, digabungkan dengan enjin pembakaran dalaman 1.6 liter turbo V6.
Perubahan ini secara tidak langsung menjadikan Formula 1 hampir 50 peratus berasaskan teknologi elektrik, sesuatu yang sejajar dengan kepakaran BYD dalam bidang bateri dan kenderaan elektrik.
BYD Sudah Tinggalkan Kereta Enjin Konvensional
BYD sebelum ini telah menghentikan pengeluaran kereta yang menggunakan enjin pembakaran dalaman sepenuhnya (ICE-only) pada Mac 2022.
Sejak itu, syarikat tersebut hanya memfokuskan kepada pembangunan kenderaan elektrik sepenuhnya (BEV) dan plug-in hybrid (PHEV), menjadikannya antara pengeluar EV terbesar di dunia.
Penyertaan dalam Formula 1 dilihat sebagai platform pemasaran global yang sangat berprestij, sekali gus membolehkan BYD bersaing secara langsung dengan jenama automotif legenda seperti Ferrari dan McLaren.
Teknologi Yangwang Mungkin Digunakan
Jika BYD benar-benar memasuki F1, terdapat kemungkinan mereka akan memanfaatkan teknologi daripada jenama mewah mereka, Yangwang.

Jenama Yangwang dilancarkan pada Januari 2023 sebagai barisan model prestasi tinggi yang diletakkan di atas model mainstream dan premium BYD.
Antara model paling berkuasa ialah Yangwang U9 yang menggunakan platform e⁴ dengan empat motor elektrik bebas pada setiap roda.
Supercar elektrik ini mampu menghasilkan sekitar 960 kW (1,287 hp) dan memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam kira-kira 2.3 saat. Versi Extreme pula dilaporkan mampu mencapai kuasa sehingga 3,000 hp.
Mungkin Jadi Pasukan Ke-12 F1
Buat masa ini, masih belum jelas bagaimana BYD akan memasuki Formula 1.
Antara pilihan yang sedang diperkatakan ialah menubuhkan pasukan baharu sebagai pasukan ke-12 dalam grid, atau mengambil alih pasukan sedia ada seperti Alpine yang dimiliki oleh Renault.

Selain F1, BYD juga dilaporkan sedang meneliti kemungkinan untuk menyertai perlumbaan World Endurance Championship (WEC).
Jenama China Semakin Aktif Dalam Motorsport
BYD bukan satu-satunya pengeluar China yang melihat motorsport sebagai platform global.
Chery dilaporkan sedang mempertimbangkan penyertaan dalam perlumbaan Le Mans, manakala pengeluar EV Nio telah pun terlibat dalam Formula E selama lebih satu dekad.

Buat masa ini, semuanya masih dalam peringkat spekulasi. Namun jika BYD benar-benar menyertai Formula 1, ia bakal menjadi satu lagi perubahan besar dalam landskap sukan permotoran global.
Sumber: CNC