Perkara itu disahkan oleh Naib Presiden Eksekutif BYD, Li Ke, yang menyatakan bahawa perbincangan awal telah pun diadakan dengan pihak pengurusan F1, termasuk pertemuan bersama CEO Stefano Domenicali di Shanghai.
Buat masa ini, tiada keputusan rasmi atau garis masa ditetapkan, namun BYD sedang menilai beberapa bentuk penglibatan, antaranya termasuk menjadi pasukan bertanding, pembekal komponen trenkuasa hibrid, atau sekadar terlibat melalui penajaan.
Pendekatan fleksibel itu menunjukkan bahawa BYD melihat Formula 1 bukan sekadar platform pemasaran, tetapi sebagai medan ujian teknologi kejuruteraan berprestasi tinggi.
Perubahan regulasi F1 bagi tahun 2026 dijangka meningkatkan peranan kuasa elektrik dalam sistem hibrid, dengan fokus lebih besar kepada pengurusan tenaga, sistem pemulihan tenaga (energy recovery), dan kecekapan keseluruhan trenkuasa.
Ia secara langsung selari dengan kepakaran BYD dalam bidang bateri dan sistem pendorongan elektrik, bagaimanapun cabaran dalam Formula 1 bukan hanya terletak pada prestasi bateri semata-mata.
Ia melibatkan integrasi kompleks pelbagai sistem termasuk aerodinamik, pengurusan haba, serta strategi tenaga secara keseluruhan, menjadikannya antara platform kejuruteraan paling mencabar di dunia automotif.
Dari sudut industri, Formula 1 sememangnya telah lama digunakan oleh pengeluar automotif sebagai “makmal bergerak” untuk pembangunan teknologi canggih.
Dengan hala tuju ke arah elektrifikasi yang semakin jelas, penyertaan BYD dilihat berpotensi memberi nilai tambah dari segi inovasi.
Sebagai antara pengeluar EV terbesar dunia, BYD mencatatkan jualan sekitar 4.6 juta kenderaan pada tahun 2025, namun syarikat itu turut berdepan turun naik prestasi, termasuk penghantaran kenderaan pada suku pertama 2026 menurun 30.5 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.
Selain itu, BYD juga sedang mengembangkan imej prestasi tinggi melalui projek seperti BYD Formula X yang dijangka memasuki fasa produksi sekitar 2027 sebagai platform demonstrasi teknologi.
Buat masa ini, penglibatan BYD dalam Formula 1 masih di peringkat kajian, keputusan akhir akan bergantung kepada sejauh mana regulasi baharu F1 sejajar dengan strategi jangka panjang syarikat dalam elektrifikasi dan pembangunan kejuruteraan berprestasi tinggi.
Sumber: CarNewsChina