Cadangan tukar struktur cukai- adakah cukai kenderaan jenama luar bakal meningkat? 

oleh HEZERI SAMSURI|
Pagi ini saya terbaca laporan-laporan berkaitan kenyataan Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad yang dilaporkan berkata kerajaan mungkin akan menukar sistem percukaian negara untuk menggalakkan penggunaan produk tempatan.

"Polisi kerajaan ketika ini lebih menggalakkan import berbanding eksport," ujar Tun Mahathir.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

"Jika kita buat kereta di Malaysia, ia akan menjadi kereta paling teruk berbanding kereta buatan luar. Disebabkan itu banyak duit keluar sedangkan kita ada kemahiran bukan sahaja membina kereta api malah kapal terbang dibina di sini. Jadi keupayaan itu ada," ujar beliau.

Menurut laporan Utusan Malaysia, Tun Mahathir berkata pertukaran itu akan melibatkan perancangan dalam menstrukturkan semula cukai melibatkan industri-industri tertentu.

Tun Mahathir mengeluarkan kenyataan itu semasa hadir di acara perasmian Pameran Technomart Rel 2019 di Cyberjaya semalam.

Perdana Menteri itu walaubagaimanapun mengaku bahawa rakyat tidak boleh dipaksa untuk membeli barangan keluaran tempatan.

"Anda boleh membawa kuda ke air tetapi anda tidak boleh memaksanya minum air itu,” katanya.

Tun Mahathir berharap rakyat Malaysia dapat mencontohi masyarakat Jepun yang cenderung membeli produk mereka sendiri (mungkin Tun terlupa bahawa kerajaan Jepun sering tampil dengan kempen beli barangan tempatan, sama seperti yang dilakukan oleh kerajaan Australia, US, UK dan Rusia).

Saya termenung sebentar kerana nampaknya Tun masih sihat dan masih ingat apa yang dia mahu lakukan empat tahun lalu.

Dalam wawancara video bersama Careta pada 23 Disember 2015, Tun juga berkata beliau merasakan kenderaan jenama asing mudah masuk ke pasaran Malaysia, lantas mengganggu pertumbuhan jualan Proton.

Dalam perbualan peribadi saya bersama Tun juga, beliau beberapa kali secara tidak langsung seperti berkata perlu ada kawalan untuk kemasukan jenama asing agar Proton tidak tenggelam.

Jadi adakah dalam masa terdekat ini Malaysia akan kembali seperti tahun 1983 di mana cukai untuk jenama kenderaan lain dinaikkan agar memberikan ruang kepada syarikat kereta nasional kita berkembang maju?

Adakah Tun Mahathir masih memandang Proton/Geely sekarang sebagai sebuah syarikat kereta nasional?

Jika ia, adakah Perodua juga akan diberikan keistimewaan yang sama kerana seperti Proton, Perodua juga mempunyai rakan teknikal asing?

Adakah Tun Mahathir mahu sebuah syarikat kereta nasional yang baharu dan akan menggunakan acuan yang sama digunakan ketika melancarkan Proton 35 tahun yang lalu?

Ada banyak persoalan yang masih tidak terjawab di dalam industri automotif negara.

Kita tidak boleh menafikan bahawa negara-negara jiran sudah mula bangkit dan Malaysia mahu atau tidak menjadi contoh dan juga inspirasi mereka.

Suatu ketika dahulu, kita membayangkan bahawa jenama-jenama nasional negara akan mampu mengeksport produk-produk mereka ke negara-negara jiran.

Ini sendiri banyak kali disampaikan oleh Tun Mahathir kepada saya. 

"Pasaran mereka jauh lebih besar dan sementara kita menunggu pasaran mereka matang, kita sepatutnya menyediakan produk-produk dan kemahiran-kemahiran agar kita sudah boleh menjadi pengeksport tegar," ujar beliau kepada saya dahulu.

Saya rasa tidak perlu saya menulis dengan lebih panjang kerana kita sendiri boleh melihat apa yang sedang berlaku.

Tahun lalu, Thailand mengeksport sebanyak 1,140,640 unit kenderaan bernilai RM77.23 billion.

Jumlah eksport kenderaan dari Malaysia pula adalah satu angka yang menggelikan hati bila kita bandingkan dengan Thailand.

Adakah kita mahu terus mendabik dada dengan agenda tempatan yang remeh sementara menantikan Indonesia pula bangkit? 

Wallahuallam.


* Di bawah ialah video wawancara Careta bersama Tun Mahathir Mohamad pada 3 Disember, 2015 semasa beliau menjadi pengerusi Proton Holdings Berhad.

 

 


 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad diberi penghormatan sebagai penerima Anugerah Pencapaian…