Cadangan turunkan had umur lesen kepada remaja 14 tahun - bijak atau tidak?

oleh HEZERI SAMSURI|

Minggu lalu, Timbalan Menteri Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Azizah Mohd Dun telah berkongsi cadangan-cadangan yang diperoleh menerusi Perbincangan Meja Bulat Mengenai Isu-Isu Sosial Kanak-Kanak dan Remaja yang berlangsung pada 22 Mac.

Antara cadangannya ialah menurunkan had umur remaja untuk memohon lesen motosikal kepada 14 atau 15 tahun, dengan beberapa syarat tambahan seperti hanya boleh menunggang di kawasan tertentu seperti di kawasan perumahan dan hanya boleh menunggang antara jam 7 pagi hingga 8 malam.

 

 

Ini adalah bertujuan untuk menimbukan kesedaran dalam kalangan kanak-kanak dan remaja akan bahaya berlumba motosikal atau basikal lajak.

"Kementerian juga bercadang untuk mewujudkan gelanggang khas untuk perlumbaan motosikal bagi mencungkil bakat anak muda," katanya.

Terima kasih kepada pihak Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat kerana mengeluarkan inisiatif untuk membanteras gejala rempit dan basikal lajak di kalangan remaja, yang rata-ratanya berlaku di kalangan masyarakat Melayu.

 

 

Sekurang-kurangnya Kementerian itu mahu melihat langkah-langkah yang boleh diambil untuk mengawal isu tersebut.

Namun begitu, Careta harap pihak kementerian turun dan duduk bersama dengan Kementerian Pengangkutan dan juga dengan Polis DiRaja Malaysia untuk mendapat nasihat yang lebih mendalam kerana isu lesen bukannya satu isu yang remeh.

Kami tidak nampak bagaimana merendahkan had umur mengambil lesen menunggang dari 16 tahun ke 14 tahun boleh mengurangkan gejala rempit, dan ia langsung tiada berkait dengan basikal lajak.

 

 

Ini ialah perbuatan rempit seperti menunggang dengan laju, wheelie dan wekang serta bersidai dengan motosikal tiada kena mengena dengan lesen menunggang.

Sama juga dengan idea bernas untuk mengawal kawasan menunggang dan waktu menunggang. Adakah Kementerian akan membekalkan alat GPS atau helikopter peronda untuk memastikan undang-undang itu dipatuhi?

Atau cadangan Careta, satu alat dipasang pada motosikal mereka agar ia meletup bila ditunggang luar dari kawasan perumahan atau selepas waktu had 8 malam.

 

 

Jika niat Kementerian ialah untuk benarkan pelajar menggunakan motosikal ke sekolah dengan secara halal, itu kami setuju kerana mengikut kajian MIROS dalam tahun 2016, dalam 80 peratus dari 117,000 pelajar sekolah yang menunggang tidak mempunyai lesen.

Kita tak perlu tanya apa fungsi polis atau JPJ kerana 80 peratus bukan jumlah yang kecil, tetapi penetapan had umur lesen perlu kajian yang lebih lengkap dari pelbagai pihak, termasuk dari pakar perubatan.

Di Eropah sekarang, had umur minima untuk lesen motosikal ialah 16 tahun dan itupun hanya untuk motosikal 125 cc dengan kuasa maksimum 14.75 hp. 

Pasti ada sebab kenapa had umur itu dipilih kerana di Eropah, keadaan jalanraya lebih teratur dan penggunanya berdisiplin.

Malah, untuk mengambil lesen motosikal, pemohon perlu lulus empat ujian - teori am, teori khusus. praktikal di litar tertutup dan praktikal di laluan awam.

 

*Gambar dari SMK Penghulu Saat, Batu Pahat.

 

Apapun, terima kasih kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat atas usaha anda.

Cadangan untuk membina litar juga sangat kami alukan kerana tiada kementerian lain yang mahu mencadangkannya, walaupun Timbalan Perdana Menteri sendiri mendakwa beliau meminati motosikal besar.

Kami harap pihak kementerian akan teruskan usaha tersebut, tetapi tolong panggil pakar ataupun panggil kami dalam mesyuarat tersebut agar cadangan yang dihasilkan tidak menyebabkan rakyat terfikir adakah Puan Timbalan Menteri tinggal di Malaysia atau di negara lain.

*Gambar dari SMK Penghulu Saat, Batu Pahat.

Berita Berkenaan

Berita Domestik
  "Kementerian dan Agensi yang mengeluarkan surat atau permit pergerakan adalah Kementerian…
Berita Domestik
Kementerian dan Agensi yang dimaksudkan adalah: 1. Kementerian Perdagangan Antarabangsa Dan…
Berita Domestik
Dalam satu video ringkas yang diterbitkan oleh KiniTV, SAC Gerakan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri…