Idea tersebut dicetuskan oleh sebuah syarikat Jerman Schneider Caravaning yang mengilhamkan penghasilan produk motorhome dua alam yang digelar sebagai Caracat 860.

Ia boleh didatangkan dalam tiga saiz yang berbeza, di mana versi paling kecil berukuran 6.6 meter panjang sehinggalah kepada yang paling besar 8.6 meter.
Di atas darat, caravan ini boleh diletakkan di atas trailer dan ditunda dengan menggunakan SUV (seperti contoh G-wagen).
Namun di atas air, Caracat 860 ini boleh berubah menjadi sebuah bot catamaran yang dikuasakan oleh motor elektrik Torqeedo 8 hp, atau pilihan enjin diesel berkuasa sekitar 100 hp.

Versi yang paling besar 8.6 meter itu dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti bateri Victron 220-Ah, panel solar 200-W, outlet kuasa 32-A, GPS Garmin 722 XS, sistem pemanas air dan udara Truma, sistem pendingin hawa Dometic, serta sistem hiburan yang merangkumi TV pintar LED dan sistem audio Bluetooth.
Selain daripada itu, terdapat juga bilik tidur/ruang rehat, bilik air yang lengkap dengan tandas, sinki dan pancuran air, trim kulit dan Alcantara, lantai kayu teak serta khemah bumbung pop-up yang mampu memuatkan tambahan ahli keluarga sewaktu beraktiviti di luar.

Untuk menikmati pemandangan di atas air, Caracat turut menyediakan sebuah balkoni kecil di bahagian belakang, dan tidak ketinggalan ruang istirahat di bahagian bumbung yang lengkap dengan kanopi yang boleh dibuka dan disimpan kembali.
Harga untuk sebuah Caracat 860 ini bermula dari €130,000 (RM577,383).