Ghosn, yang kini menetap di Lubnan selepas meloloskan diri dari Jepun pada 2019, tidak menyesal dan tidak pernah mengaku bersalah atas dakwaan penyalahgunaan kewangan. Sebaliknya, beliau menuduh Nissan dipenuhi politik kotor yang mahu menjatuhkannya. Kini, beliau kembali dengan kritikan pedas terhadap Nissan, sambil menyatakan sedikit harapan terhadap masa depan Renault.
Menurut laporan Le Figaro, Ghosn mengecam prestasi semasa Nissan yang sedang berdepan krisis serius. Di bawah kepimpinan CEO baharu, Ivan Espinosa, dua tokoh penting Makoto Uchida dan Pengerusi Renault, Jean-Dominique Senard telah disingkirkan daripada lembaga pengarah Nissan. Langkah ini secara tidak langsung menandakan tamatnya kerjasama antara dua gergasi itu.
Nissan Hilang Arah, Sedang Cari 'Penyelamat'
Nissan kini dikatakan sedang bergelut untuk bertahan. Usaha bergabung dengan Honda yang digagalkan awal tahun ini memaksa Nissan menjalankan penstrukturan semula besar-besaran. Kilang ditutup, pekerja diberhentikan, dan malah bangunan ibu pejabat di Jepun dikhabarkan akan dijual.
Bagi Ghosn, kegagalan ini memalukan. Beliau pernah menyindir cadangan kerjasama dengan Honda sebagai tindakan “mengemis”. Namun, selepas perbincangan gagal, Nissan kini tiada pilihan selain mencari rakan strategik baharu dan Foxconn, pembuat iPhone dari Taiwan, disebut-sebut sebagai calon paling realistik.
Renault Boleh Bangkit – Dengan Bantuan China
Dengan Nissan ‘angkat kaki’, Renault kini bebas untuk bergerak solo dan Ghosn melihat peluang cerah, khususnya di China. Ketua Pegawai Eksekutif Renault yang akan berundur, Luca de Meo, telah membawa syarikat ke landasan kukuh untuk bekerjasama dengan pemain besar seperti Geely.
Malah, penggabungan dengan Volvo juga tidak mustahil. Langkah seperti ini bukan sahaja membolehkan Renault keluar dari ‘bayang-bayang Eropah’, malah boleh mengukuhkan kehadirannya secara global.
Sebelum ini, Renault pernah mencuba bergabung dengan FCA pada 2018, tetapi akhirnya FCA memilih Peugeot untuk membentuk Stellantis. Melihat kepada cabaran semasa yang dihadapi Stellantis, mungkin Renault telah terlepas ‘peluru sesat’.
Era Baharu Perlu Wira Baharu
Industri automotif kini sedang melalui fasa peralihan besar dari enjin pembakaran kepada elektrifikasi. Ia menuntut konsolidasi dan skala ekonomi yang besar, dan dalam konteks ini, pakatan atau penggabungan menjadi semakin relevan.
Namun, sejarah menunjukkan ia bukan mudah. Pakatan Renault-Nissan-Mitsubishi yang pernah menjadi model kerjasama kini berkubur. Dan tokoh-tokoh hebat seperti Carlos Ghosn dan Carlos Tavares sudah meninggalkan pentas.

Harapan sekarang? Mungkin munculnya seorang ‘Carlos Ghosn baharu’ kali ini dari China. Dan calon yang disebut: Li Shufu, tokoh utama di sebalik kejayaan Geely.
Sumber asal:
Jalopnik - Carlos Ghosn Thinks The Renault-Nissan Alliance Is Dead