Edifice EQB-2000HR "Honda Racing Red Edition" menampilkan ciri seperti tali jam menggunakan bahan Alcantara hitam dengan jalur dan jahitan merah, di mana ia merupakan satu rujukan kepada tempat duduk Honda Type R.

Bahagian dial pula menampilkan logo Honda Racing Corporation (HRC), diikuti dengan palang yang dikemaskan dengan warna merah yang sama digunakan pada logo H merah.
Pada penutup belakang pula terdapat logo 60 dan garisan yang membentuk litar Suzuka sebagai meraikan ulang tahun yang ke-60 litar tersebut.

Akhir sekali, rekaan lug jam tangan ini dilihat menyerupai komponen suspensi pada jentera lumba formula.
Dengan berat sekitar 96 g, jam tangan ini turut dilengkapi dengan dial tambahan untuk masa dunia, bateri solar, dan boleh disambungkan kepada peranti pintar menerusi Bluetooth.

Ia akan mula dijual di Jepun pada 30 September ini dengan harga jualan bermula dari 77,000 yen (RM2,497).