Dengan lebih daripada 56 juta naskhah komik yang telah berjaya dijual, pelukis Initial D itu telah pun memulakan sebuah lagi siri komik perlumbaan baharu yang digelar sebagai MF Ghost - boleh dikatakan sebagai satu kesinambungan kepada siri Initial D yang sangat popular itu.

Sebagai satu penghargaan kepada komuniti tersebut, Casio telah melancarkan jam tangan edisi khas Edifice Sospensione ECB-2000MFG yang kini sudah pun berada di pasaran Malaysia.
Dihasilkan menerusi kolaborasi bersama mangaka Shuichi Shigeno, jam tangan Edifice ECB-2000MFG ini menampilkan tema Initial D dan MF Ghost.
Sebagai permulaan, ia menggunakan skema warna merah hitam yang sama digunakan oleh Toyota GT 86 yang dipandu oleh watak utama MF Ghost, Kanata Rivington.

Selain itu, terdapat juga nama lokasi perlumbaan pada tali jam tangan, diikuti dengan nama Fujiwara Tofu Shop yang merujuk kepada lokasi kedai tofu dalam Initial D.
Menariknya, Casio turut memadankan perkataan katakana Jepun "ギャァア" pada tali dan dial jam, di mana ia sebenarnya merujuk kepada efek bunyi seretan tayar yang digunakan di dalam manga Initial D dan MF Ghost.

Tidak cukup dengan tema yang dipersembahkan, jam tangan asas ECB-2000 ini sebenarnya direka mengikut elemen sukan permotoran, seperti rekaan unik casis yang diinspirasikan daripada suspensi kereta lumba formula.
Edifice ECB-2000MFG itu turut menyokong sehingga 38 zon masa dunia, bateri boleh cas yang mampu bertahan sehingga tujuh bulan, serta boleh dihubungkan kepada aplikasi Casio Watches menerusi Bluetooth.

Harga jualan Casio Edifice ECB-2000MFG ini bermula dari RM2,399, dan berdasarkan laporan Lowyat.net, ia hanya boleh didapati di beberapa lokasi G-Factory, G-Shock Store dan Casio Authorized Dealer yang terpilih sahaja.
Senarai kedai yang mengambil bahagian boleh dirujuk pada pautan INI.
Sumber: Lowyat.net