Project V direka untuk memenuhi keperluan pemanduan prestasi tinggi, dengan output kuasa sehingga 200 kW, serta pecutan 0-100 km/j dalam kurang 4.5 saat.
Model ini dijangka memasuki pasaran seawal tahun 2027, dengan harga anggaran sekitar £80,000 (RM506,000).
Lebih menarik, sistem penyejukan inovatif ini membolehkan bateri dicas daripada 10% ke 80% dalam masa hanya 13 minit — jauh lebih pantas daripada purata masa pengecasan EV sedia ada yang mencecah 40 minit.
Penyejukan rendaman melibatkan penggunaan cecair penyejuk khas yang merendam terus sel-sel bateri, sekaligus menyerap dan mengagihkan haba secara efisien.
Berbeza dengan sistem konvensional yang bergantung kepada permukaan sentuhan dan pengaliran udara atau cecair melalui saluran, teknologi ini membolehkan penyejukan menyeluruh, terutama ketika pengecasan pantas atau pemanduan ekstrem.
Sistem ini turut disokong oleh sensor pintar dan kecerdasan buatan (AI) yang mampu memantau suhu setiap sel bateri dan melaras aliran penyejuk mengikut keperluan — memastikan suhu beroperasi kekal dalam lingkungan optimum 0 hingga 40 darjah Celsius.
Sistem ini dibangunkan oleh Xing Mobility, sebuah syarikat yang diasaskan pada 2015 oleh jurutera berpengalaman dari Tesla dan Panasonic.
Asalnya memfokuskan kepada pembangunan kereta lumba elektrik, Xing Mobility kini mengkhususkan kepada penyelidikan dan pembangunan sistem bateri berprestasi tinggi untuk kegunaan komersial, khususnya dalam sektor automotif.
Xing Mobility merancang untuk memulakan pengeluaran besar-besaran pada tahun 2026, dengan matlamat utama untuk mengurangkan kos melalui reka bentuk modular serta meningkatkan kecekapan sistem secara keseluruhan.
Sekiranya berjaya dilaksanakan dalam Project V, tidak mustahil sistem penyejukan rendaman ini akan menjadi penanda aras baharu dalam industri EV global, khususnya dalam aspek keselamatan, kelestarian, dan prestasi bateri.
Baca penuh di NikkeiAsia