Versi terbaru standard keselamatan bateri tersebut diumumkan pada 28 Mac 2025 dan membawa perubahan paling ketara dalam aspek ujian penyebaran haba (thermal diffusion test).
Piawaian sebelum ini hanya mengkehendaki isyarat amaran sebelum kebakaran atau letupan berlaku, tetapi versi baharu ini menetapkan bahawa bateri mesti langsung tidak meletup atau terbakar, malah asap yang terhasil tidak boleh membahayakan penumpang di dalam kenderaan.
Antara ujian yang diperkenalkan dalam standard baharu ini termasuk:
- Ujian impak dari bawah, bagi menilai ketahanan struktur perlindungan bateri.
- Ujian pengecasan pantas sebanyak 300 kitaran, diikuti dengan ujian litar pintas untuk mengesahkan tiada kebakaran atau letupan berlaku selepasnya.
Walaupun piawaian ini hanya akan dikuatkuasakan pada pertengahan 2026, CATL telah berjaya mendahului industri dengan mematuhi standard ini lebih awal daripada jadual.
Menurut kenyataan rasmi pada 29 April 2025, CATL mengesahkan bahawa kedua-dua sel dan pek bateri mereka telah lulus dua ujian utama di bawah GB 38031-2025. Model yang diuji ialah bateri Qilin, generasi ketiga teknologi CTP (cell-to-pack) CATL yang diperkenalkan pada Jun 2022.
Bateri ini bukan sahaja menawarkan kepadatan tenaga setinggi 255 Wh/kg, malah struktur sokongannya yang stabil serta sistem perlindungan haba yang ditambah baik membolehkannya bertahan dalam ujian ekstrem yang mensimulasikan situasi kegagalan bateri sebenar.
Ujian tersebut dijalankan oleh pihak ketiga, China Automotive Technology & Research Center (CATARC), iaitu badan bebas yang turut menjalankan penilaian keselamatan C-NCAP di China.
Sesi penyerahan laporan disaksikan oleh wakil Jabatan Sistem Tenaga CATARC dan Pusat Pengesahan & Ujian CATL sendiri.
Dalam kenyataannya, CATL menyatakan bahawa mereka akan terus mempertingkat tahap keselamatan bateri termasuk aspek penyebaran haba, perlindungan bawah, keselamatan pengecasan pantas dan banyak lagi melalui inovasi teknologi berterusan.
Kejayaan mematuhi standard ini lebih setahun lebih awal daripada tarikh wajib membuktikan penguasaan CATL dalam bidang teknologi bateri EV yang selamat dan canggih.
Sehingga Februari 2025, lebih 18 juta kenderaan di seluruh dunia dilengkapi dengan bateri buatan CATL. Model Qilin pula digunakan oleh pelbagai jenama terkemuka seperti Aito, Zeekr, Li Auto, Xiaomi, Neta, Avatr dan Lotus.
SUMBER : CarNewsChina