CEO Tesla, Stellantis setuju Ferrari tidak patut buat kereta swapandu

oleh Mohamad Hanif|
Teknologi pemanduan autonomi (swapandu) penuh kini menjadi salah satu daripada sasaran beberapa syarikat automotif untuk ditawarkan kepada umum pada masa akan datang.

Namun, untuk pengeluar kereta sports tulen seperti Ferrari tidak sepatutnya menjadi sebahagian daripada golongan tersebut.

Hal ini dipersetujui sendiri oleh pengerusi Stellantis, John Elkann yang juga Pengerusi Ferrari dan disokong oleh CEO Tesla, Elon Musk dalam satu sidang video di Italian Tech Week.

Menurut laporan daripada Automotive News Europe, isu pemanduan autonomi merupakan sebahagian daripada subjek perbualan antara kedua-dua belah pihak, namun apabila menyentuh isu tersebut, Elkann menyebut ia suatu perkara yang menyedihkan apabila Ferrari mempunyai kereta swapandu.

Tambah beliau, "salah satu intipati pemilikan sesebuah Ferrari adalah dengan memandu dan merasai sendiri semangat yang ada pada jentera itu."

Elon Musk turut menambah, sesetengah pihak masih lagi suka untuk memandu ke mana sahaja di dalam sebuah Ferrari. "It's on the logo."

Tidak kira apa jua teknologi yang bakal mendatang, kedua-dua pihak nampaknya bersetuju bahawa sebuah jentera Ferrari akan sentiasa dipandu oleh para peminatnya dan bukannya dibiarkan memandu sendiri.

Bayangkan sebuah Ferrari yang dilengkapi dengan sistem pemanduan autonomi. Apakah erti yang bakal tersisa untuk jenama Prancing Horse itu pada masa akan datang?

Sumber: Automotive News Europe

Berita Berkenaan

Berita Global
Menurut dokumen paten tersebut, sistem ini “tidak mengalami kekurangan yang biasa terdapat pada…
Berita Global
Ferrari SC40 dikuasakan oleh enjin V6 mid-rear, mengambil seni bina, casis serta trenkuasa…
Berita Global
Model empat tempat duduk itu dijadual dilancarkan pada tahun 2026, menampilkan lebih 1,000 hp,…