Ceroboh hutan simpan, 13 lelaki ditahan

oleh Mohamad Hanif|
Unit Tindakan Khas Pejabat Hutan Daerah Raub telah berjaya menahan 13 individu kerana didapati menceroboh Hutan Simpan Batu Talam tanpa permit, Ahad lalu.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Menurut laporan Sinar Harian, kesemua mereka yang ditahan berusia antara 22 hingga 60 tahun yang dipercayai melakukan aktiviti sukan lasak di kawasan tersebut.

Pegawai Hutan Daerah Raub, Safiah Aimi Md Isa berkata, penemuan individu terbabit adalah menerusi aktiviti rondaan yang dijalankan, dan siasatan awal mendapati mereka yang ditahan merupakan penduduk di sekitar daerah ini dan Kuala Lumpur.

Sebanyak tiga motosikal lasak, tiga kenderaan pacuan empat roda dan lima kenderaan all-terrain telah dirampas beserta dengan beberapa peralatan perkhemahan.

Jelasnya lagi, "Mereka yang ditahan mendakwa tidak mengetahui perlu mendapatkan permit untuk memasuki hutan simpan kekal daripada Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) atau PHD Raub," ujar beliau.
 

ceroboih


Safiah Aimi berkata, pihak yang ingin memasuki mana-mana hutan simpan kekal perlu lebih cakna dan mengetahui proses permohonan serta kemasukan ke dalam hutan yang telah ditetapkan.

Berikutan musim tengkujuh, semua 26 lokasi Taman Eko Rimba dan Hutan Taman Negeri ditutup buat sementara waktu.

"Kita sudah meletakkan banyak papan tanda amaran dan peringatan di semua kawasan hutan simpan di daerah ini.

"Tetapi sikap sesetengah orang awam yang tidak memandang serius terhadap amaran berkenaan mengundang padah sekiranya mereka ditangkap oleh anggota penguat kuasa," katanya.

Individu yang berada di dalam hutan simpan kekal tanpa permit boleh dikenakan tindakan undang-undang mengikut Seksyen 47 Akta Perhutanan Negara (APN) 1984 dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda RM10,000 atau penjara tiga tahun atau keduanya sekali.

Sumber: Sinar Harian