Beliau berkata masyarakat diminta agar tidak menceroboh termasuk mengambil gambar di mana-mana landasan kereta api memandangkan perbuatan itu berbahaya sekali gus dikira menceroboh.
“KTMB tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang didapati melanggar peraturan ini. Kami menyeru orang ramai untuk sentiasa mematuhi peraturan keselamatan yang telah ditetapkan bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku.
“Keselamatan adalah keutamaan KTMB dan kami berharap agar pencerobohan landasan kereta api tidak berulang lagi di masa hadapan,” katanya kepada Bernama pada Selasa.
Pada Ahad lepas, tular di laman Facebook serta media sosial lain sepasang pengantin mengambil gambar di Jambatan Guillemard di Tanah Merah.
Menerusi video berdurasi seminit 26 saat itu kelihatan seorang jurugambar lelaki sedang berlari dari landasan berkenaan, manakala pasangan pengantin tersebut hanya berjalan dengan santai untuk beredar dari landasan walaupun dihon oleh pemandu kereta api.