Chery Bakal Jadi Pengeluar China Pertama Eksport Lebih 5 Juta Kenderaan

oleh Qalif Latif|
Pengerusi Chery, Yin Tongyue mengumumkan pada Pameran Automotif dan Rantaian Bekalan Antarabangsa 2025 (Hong Kong) bahawa syarikat itu bakal menjadi pengeluar kenderaan China pertama yang mencatat lebih 5 juta unit eksport kumulatif menjelang 20 Jun.

Chery mempersembahkan 12 model kenderaan tenaga baharu (NEV) daripada tujuh sub-jenama: Chery, Exeed, Jetour, iCAR, Luxeed, Omoda, dan Jaecoo merangkumi keperluan mobiliti harian hingga pengembaraan off-road. Ini menunjukkan komitmen Chery terhadap elektrifikasi dan kepelbagaian produk.

Dari Januari hingga Mei 2025, Chery Group mencatatkan jualan sebanyak 1,026,517 unit, peningkatan 14% berbanding tahun lalu. Jualan NEV melonjak 111.5% kepada 287,798 unit, manakala eksport mencecah 443,940 unit mengekalkan status Chery sebagai pengeksport utama kenderaan China. Secara purata, sebuah kenderaan Chery dihantar ke luar negara setiap 29 saat.

Pada bulan Mei sahaja, Chery menjual 205,732 unit (naik 9.1%), termasuk 191,567 unit oleh Chery Automobile Co., Ltd. (naik 7.2%). Jualan NEV untuk bulan tersebut ialah 63,169 unit (naik 47.7%) dan eksport berjumlah 100,737 unit (naik 7.7%). Sehingga akhir Mei, jumlah pengguna global Chery melebihi 16.7 juta orang, dengan lebih 4.94 juta di luar China.

Awal tahun ini, Chery menghantar permohonan penyenaraian ke Bursa Saham Hong Kong, dengan sasaran menjadikan Hong Kong sebagai hab kewangan, logistik, inovasi dan bakat global. Mereka juga sedang meneroka kemungkinan membuka kilang di Hong Kong untuk memperkukuh kapasiti pengeluaran global.

Dari segi kewangan, Chery mencatat hasil sebanyak 182.15 bilion yuan (RM119 bilion) dan keuntungan bersih 11.31 bilion yuan (RM7.4 bilion) untuk tiga suku pertama 2024. Di pameran itu, Chery mempamerkan teknologi terkini seperti enjin Kunpeng Tianqing dengan kecekapan 48%, motor elektrik berputaran tinggi 30,000 rpm dan produk pintar seperti robot Mogu.

Eksekutif Chery turut mengesahkan bahawa hasil daripada IPO nanti akan disalurkan ke arah penyelidikan dan pembangunan NEV serta pengembangan pasaran luar negara, menegaskan komitmen jangka panjang mereka terhadap pertumbuhan berasaskan teknologi.

Berita Berkenaan

Berita Global
Seperti yang dilaporkan sebelum ini, kedatangan semula Freelander sebagai sebuah jenama akan…
Berita Global
Sebanyak 10,064 unit Jaecoo 7 didaftarkan sepanjang bulan tersebut, mengatasi Puma (9,193 unit),…
Berita Global
Menurut laporan, model pertama jenama Freelander ialah SUV besar sekitar 5.1 meter dan akan…