Chery Perkenal SUV Besar Fulwin T11 di China, Jarak Pemanduan Lebih 1,400 km

oleh Qalif Latif|
Chery di China baru sahaja mengumumkan model SUV baharu mereka, Fulwin T11, yang akan mula ditawarkan untuk pra-tempahan bermula 13 Oktober 2025. Walaupun ia khusus untuk pasaran domestik China pada peringkat awal, pengumuman ini tetap menarik perhatian kerana Chery semakin agresif memasarkan teknologi elektrik mereka ke arena global termasuk ke Asia Tenggara dan Malaysia.

Reka Bentuk & Eksterior

Fulwin T11 mengusung bahasa reka bentuk moden dan premium. Di depan, ia menampilkan lampu utama LED tirus yang dihubungkan oleh jalur DRL LED berterusan, digandingkan dengan gril gaya “waterfall” tanpa bingkai dan bampar bawah yang lebar dengan fungsi gril aktif. Dari sisi, garis badan lurus dan gerbang roda yang sedikit melebar menyuntik elemen dinamik; rim aloi 21 inci turut menambah aura gagah. Bahagian belakang dihiasi trim krom perak dan elemen diffuser dua segmen.

Chery Fulwin T11

Bagi dimensi, model ini mencatat 5,150 mm panjang, 1,995 mm lebar, 1,800 mm tinggi dengan jarak roda 3,120 mm. Saiz ini jelas menyasarkan segmen SUV besar dan mewah.

Dalaman & Teknologi Kabin

Kabin Fulwin T11 direka untuk menarik perhatian. Ia dilengkapi dengan paparan instrumen digital penuh, AR HUD dan skrin panorama 30 inci 6K sebagai elemen pusat konsol. Stereng dua jejari bersama tombol gear elektronik menambahkan sentuhan futuristik.

Chery Fulwin T11

Konfigurasi tempat duduk adalah 2+2+2 iaitu enam tempat duduk yang sangat sesuai untuk keluarga besar atau pengguna yang mementingkan ruang. Di samping itu, hadir pencahayaan ambien 256 warna, pilihan tiga haruman kabin serta sistem audio mewah 23 pembesar suara.

Sistem Bantuan Pemanduan Pintar

Sebagai model generasi baharu, Fulwin T11 disertakan sistem bantuan pemanduan Falcon 500 sebagai spesifikasi standard yang menyokong bantuan pemanduan lebuh raya dan parkir automatik. Untuk varian lebih tinggi, sistem Falcon 700 memperluas sokongan kepada Navigate on Autopilot NOA dalam persekitaran bandar dan fungsi ETC pass through.

Prestasi & Jarak Pemanduan

Dari segi enjin, model ini menggunakan sistem hibrid 1.5L sebagai penjana kuasa, dipadankan dengan motor elektrik depan dan belakang serta sistem pacuan semua roda pintar AWD. Kuasa maksimum dicatatkan pada 115 kW bersamaan 154 hp, dan pecutan 0 hingga 100 km/j dianggarkan sekitar 5 saat.

Chery Fulwin T11

Untuk bateri, dua pilihan disediakan iaitu 33.7 kWh dan 39.9 kWh jenis lithium iron phosphate LFP. Mengikut laporan MIIT, jangkaan jarak pemanduan elektrik WLTC adalah 170 hingga 180 km. Chery turut menyatakan bahawa di bawah kitaran CLTC, jarak elektrik boleh melebihi 220 km manakala jarak gabungan enjin dan elektrik boleh mencecah lebih dari 1,400 km.


 

Berita Berkenaan

Berita Global
Tiggo 5 Pro masih menggunakan enjin 1.5T namun reka bentuk luaran kini jauh lebih futuristik…
Berita Global
Rekaan Cyber Mecha – Inspirasi Angkasa dan Teknologi     OMODA 4 direka berasaskan falsafah…
Berita Domestik
Naib Presiden Chery Malaysia, Lee Wen Hsiang, berkata pemain industri EV selama ini banyak…