China perketat polisi kitar semula bateri lithium – Pantau EV dari lahir hingga ‘Bersara’

oleh Danial Yasin Suhaimi|
China terus memperkemas ekosistem EV mereka apabila memperkenalkan polisi baharu yang memfokuskan kepada standardisasi kitar semula bateri lithium-ion, sekali gus memperluaskan kawal selia sepanjang kitar hayat bateri dari pengeluaran hingga ke pelupusan.

Polisi yang diumumkan oleh Ministry of Industry and Information Technology China bersama All-China Federation of Supply and Marketing Cooperatives itu menggariskan beberapa langkah utama.

Ianya termasuk memperluas rangkaian kutipan bateri, memperkukuh peranan syarikat kitar semula utama, serta memperkenalkan sistem pemantauan digital yang lebih menyeluruh.

Salah satu pendekatan utama ialah menghubungkan pengeluar dengan ekosistem kitar semula, di mana pengeluar basikal elektrik dan bateri lithium kini digalakkan bekerjasama dengan syarikat kitar semula untuk membina rangkaian kutipan dan penyimpanan sementara. 

Perkara itu selari dengan trend dalam industri EV China, di mana pengeluar kereta dan pembekal bateri turut bertanggungjawab mengurus bateri yang telah tamat hayat penggunaan.

Dalam masa sama, polisi itu memberi penekanan kepada peranan syarikat kitar semula berskala besar seperti China Recycling Group untuk memperluas kapasiti dan membangunkan model operasi yang lebih fleksibel mengikut keperluan kawasan. 

Ia menunjukkan kecenderungan China untuk memusatkan proses pemprosesan dan pemulihan bahan kepada pemain industri utama bagi meningkatkan kecekapan.

Dari sudut teknologi, China kini memperkenalkan sistem penjejakan digital menyeluruh bagi setiap bateri, melalui platform kebangsaan yang dilancarkan pada 1 April, setiap bateri diberikan identiti digital unik yang membolehkan data seperti sumber, kuantiti dan destinasi direkodkan sepanjang proses kitar hayat. 

Sistem tersebut melibatkan pelbagai pihak termasuk pengeluar bateri, pengeluar EV, syarikat penyelenggaraan dan juga pengendali kitar semula.

Langkah itu secara tidak langsung mewujudkan satu sistem pengurusan “closed-loop”, di mana setiap peringkat daripada pengeluaran, penggunaan hingga pelupusan dipantau secara berpusat. 

Polisi terbaharu itu pula melengkapkan sistem tersebut dengan menambah infrastruktur fizikal seperti pusat kutipan dan saluran kitar semula yang lebih tersusun.

Selain itu, pihak berkuasa tempatan diarahkan untuk melaksanakan garis panduan teknikal yang seragam serta membangunkan model kitar semula yang boleh diperluaskan. 

Langkah itu hadir seiring dengan peraturan lebih ketat yang bakal dikuatkuasakan menjelang 2026, yang mewajibkan pengeluar automotif dan bateri bertanggungjawab sepenuhnya terhadap pengurusan bateri terpakai. 

Ia juga bertujuan meningkatkan saluran kitar semula rasmi dan mengawal proses pengendalian bateri dengan lebih rapi, terutamanya apabila jumlah bateri EV yang ‘bersara’ semakin meningkat.

Pendekatan China itu menunjukkan hala tuju jelas ke arah ekosistem EV yang lebih mampan, bukan sahaja dari segi penggunaan tenaga, tetapi juga pengurusan sisa dan kitar semula yang merupakan satu aspek kritikal dalam masa depan mobiliti elektrik global.

Langkah ini sebenarnya bukan perkara asing dalam industri, di Malaysia juga pada 14 November 2025, Jabatan Standard Malaysia (JSM) telah melancarkan Malaysian Standard MS 2818.

MS 2818 menetapkan garis panduan umum tentang maklumat yang perlu direkod, mekanisme jejak, dan tujuan utamanya untuk meningkatkan ketelusan, kebolehsusulan (traceability) dan kemampanan (sustainability) rantaian bekalan bateri EV. 

Baca: MS 2818 - Pasport bateri EV Malaysia

 

Sumber: Car News China

Berita Berkenaan

Berita Global
Untuk mengurangkan impak terhadap alam sekitar, Volkswagen Group berazam untuk mengitar semula…