Christian Horner Dikaitkan Dengan Pelaburan AS$897 Juta Untuk Ambil Pegangan Besar Pasukan Alpine F1

oleh Qalif Latif|
Bekas bos Red Bull Racing, Christian Horner, kini kembali hangat diperkatakan dalam dunia Formula 1 selepas laporan mendakwa beliau sudah mengumpulkan sokongan kewangan bernilai sekitar AS$897 juta (anggaran RM4.1 bilion) untuk membeli pegangan besar dalam Alpine F1 Team.

Menurut laporan terkini, Horner bukan sekadar berminat menjadi pelabur kecil, sebaliknya bersedia untuk mengambil majority stake dalam pasukan berpangkalan di Enstone itu, yang menamatkan musim 2025 di kedudukan tercorot Kejuaraan Pengeluar.

Alpine f1

 

Alpine Jadi Sasaran Utama Selepas Keluar Dari Red Bull

Sejak perpisahannya dengan Red Bull Racing, nama Horner memang kerap dikaitkan dengan beberapa pasukan F1. Antara yang pernah diperkatakan termasuk Aston Martin F1, namun fokus utama akhirnya tertumpu kepada Alpine.

Difahamkan, Horner berminat untuk kembali ke F1 bukan sekadar sebagai pengurus pasukan, tetapi dengan pemilikan ekuiti dalam pasukan, sesuatu yang memberi kuasa lebih besar dalam hala tuju teknikal dan komersial.

Konsortium Pelabur & Nilai Tawaran

Laporan awal Disember lalu menyebut Horner bakal membeli Alpine, yang kini dimiliki oleh satu konsortium termasuk Otro Capital, RedBird Capital Partners dan Maximum Effort Investments. Konsortium tersebut sebelum ini memperoleh 24% pegangan Alpine pada 2023.

Namun perkembangan terbaharu mendakwa Horner telah membentuk satu konsortium pelabur baharu dengan tawaran mencecah €763 juta (sekitar AS$897 juta) bagi mengambil alih pegangan yang lebih besar dalam pasukan Franco-British itu. Rundingan dikatakan sudah berada di peringkat lanjutan, walaupun struktur pemilikan akhir masih belum dimuktamadkan.

Peranan Flavio Briatore & Sikap Renault

Nama Flavio Briatore turut muncul dalam laporan ini. Briatore yang dikenali sebagai sekutu rapat Horner dilaporkan telah mengadakan perbincangan awal, manakala pemilik Alpine, Renault, dikatakan terbuka untuk menilai semula pegangan mereka sekiranya tawaran berskala besar dikemukakan.

Buat masa ini, masih belum jelas berapa peratus pegangan Renault sanggup dilepaskan, namun sumber menyatakan sebahagian pelabur sedia ada juga berminat untuk menjual saham masing-masing.

Alpine f1
Flavio Briatore

 

Latar Belakang Pemecatan Horner Dari Red Bull

Horner disingkirkan dari Red Bull Racing pada 9 Julai 2025, hanya beberapa hari selepas Grand Prix British. Keputusan itu dibuat susulan beberapa faktor besar termasuk dakwaan salah laku terhadap seorang kakitangan, konflik dalaman antara kem Horner, Helmut Marko dan kem Max Verstappen, serta prestasi pasukan yang merosot pada awal musim 2025.

Ketua Pegawai Eksekutif Red Bull GmbH, Oliver Mintzlaff, kemudian mengakui keputusan itu bukan dibuat secara tergesa-gesa, sebaliknya hasil pertimbangan jangka panjang demi hala tuju organisasi.

Apa Maknanya Untuk Alpine & F1?

Jika urus niaga ini menjadi kenyataan, kemasukan Horner dengan sokongan modal hampir AS$900 juta boleh mengubah sepenuhnya landskap Alpine F1. Ia bukan sahaja membawa suntikan kewangan besar, tetapi juga pengalaman pengurusan dan budaya kemenangan yang pernah menjadikan Red Bull kuasa dominan F1.

Untuk Alpine, ini mungkin peluang terakhir untuk reset keseluruhan struktur pasukan. Untuk Horner pula, ia berpotensi menjadi bab kedua paling berani dalam kerjaya F1 beliau – kali ini bukan sekadar mengurus, tetapi memiliki.


 

Berita Berkenaan

Sukan Bermotor
Dalam kenyataannya, Horner menggambarkan perjalanan hampir dua dekad bersama Red Bull sebagai…
Sukan Bermotor
Prestasi Merudum, Tekanan Dalaman Memuncak Musim 2025 menjadi titik mula kejatuhan apabila Red…
Sukan Bermotor
Pemecatan ini berlaku selepas setahun beliau berdepan tuduhan berkelakuan mengongkong oleh seorang…