CIMB Securities - Jenama nasional bakal kuasai pasaran EV di Malaysia mulai tahun ini

oleh Penyumbang Rencana|
foto hiasan
Jenama automotif nasional dijangka menguasai bahagian pasaran kenderaan elektrik bateri (BEV) yang lebih besar bermula 2026, didorong pelancaran model baharu oleh PROTON dan PERODUA serta kelebihan dasar cukai yang memihak kepada kenderaan pemasangan tempatan.

Penganalisis CIMB Securities, Mohd Shanaz Noor Azam, berkata segmen nasional berpotensi mencatat pertumbuhan lebih kukuh dalam jualan BEV susulan pelancaran Proton e.MAS 5 pada November 2025 dan Perodua QV-E pada Disember 2025.

"Dengan pengenaan duti import tambahan sebanyak 30 peratus dan duti eksais 10 peratus ke atas kenderaan elektrik (EV) diimport sepenuhnya (CBU) mulai Januari 2026 ketika EV pemasangan tempatan terus menikmati pengecualian cukai sehingga 2027, kami menjangkakan jenama nasional berada pada kedudukan yang lebih baik untuk meraih bahagian pasaran EV yang lebih besar bermula 2026," katanya dalam satu nota penyelidikan.

Mohd Shanaz berkata, BEV menyumbang 4.1 peratus daripada jumlah jualan kenderaan baharu dalam tempoh sembilan bulan pertama 2025, meningkat berbanding 2.4 peratus pada 2024.

Beliau berkata, dalam tempoh sama, jumlah jualan BEV dan kenderaan hibrid melonjak 45 peratus tahun ke tahun kepada 47,783 unit, merangkumi 8.2 peratus daripada jumlah keseluruhan industri (TIV).

"BYD kekal sebagai peneraju pasaran BEV dengan pegangan 42 peratus dalam sembilan bulan pertama 2025, diikuti PROTON pada 34 peratus," katanya.

foto hiasan

PROTON mencatatkan pertumbuhan volum jualan tahun ke tahun sebanyak 3.3 peratus kepada 157,976 unit pada 2025, paras tertinggi sejak 2011.

Prestasi yang lebih kukuh ini didorong terutamanya oleh jualan EV susulan pelancaran Proton e.MAS 7 pada Disember 2024, di samping peningkatan eksport sebanyak 26 peratus tahun ke tahun kepada 6,000 unit.

EV merangkumi 5.6 peratus daripada jumlah jualan, atau 8,890 unit, dengan e.MAS 7 menyumbang 8,018 unit dan muncul sebagai model EV terlaris di Malaysia.

"Kami menjangkakan PROTON akan mengekalkan momentum jualan yang sihat pada 2026, disokong oleh dua pelancaran model baharu: iaitu Proton Saga MC3 dan Proton e.MAS 5.

"Kedua-dua model telah menerima sambutan pasaran yang menggalakkan, dengan tempahan masing-masing melebihi 30,000 unit dan 14,600 unit.

"Selain itu, jenama nasional seperti PROTON juga dijangka mendapat manfaat daripada inisiatif Belanjawan 2026, termasuk geran padanan sehingga RM2,000 bagi menyokong pelupusan secara sukarela kenderaan yang tidak lagi layak digunakan di jalan raya dan berusia 15 tahun ke atas," kata Mohd Shanaz.

Mengulas prospek sektor automotif secara keseluruhan, beliau berkata CIMB Securities mengekalkan penarafan 'neutral' berikutan pertumbuhan yang dijangka sederhana dalam persekitaran persaingan yang semakin sengit.

"Walaupun pertumbuhan pendapatan dijangka sederhana, sektor ini masih menawarkan pulangan dividen yang menarik sekitar tujuh peratus bagi 2026 hingga 2027," katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Shanaz berkata, antara pemangkin positif kepada sektor itu ialah pengukuhan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan yen Jepun.

Beliau berkata, selain itu terdapat juga potensi penurunan kadar faedah serta dasar kerajaan yang menyokong sektor seperti Rang Undang-Undang Sewa Beli (Pindaan) 2026 mampu meningkatkan keyakinan pengguna.

"Bagaimanapun, risiko penurunan termasuk penyusutan nilai ringgit, kemungkinan kenaikan kadar faedah serta pengenalan penilaian nilai pasaran terbuka (OMV) yang berpotensi meningkatkan harga jualan purata kenderaan baharu," katanya.

Berita Harian

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Dalam nota penyelidikan itu, firma berkenaan menjelaskan bahawa pengekalan harga ini adalah hasil…
Berita Domestik
Penyusutan ini didorong oleh beberapa cabaran utama termasuk purata harga jualan kenderaan yang…
Berita Domestik
"Oleh itu, mungkin akan berlaku sedikit peningkatan dalam kos pengedar dan penyewaan bilik pameran…