Terdapat beberapa versi Ami yang telah diperkenalkan sebelum ini termasuklah versi buggy, dan Citroen dilihat mahu memperluaskan lagi penawaran EV kecil ini kepada semua pihak dengan memperlihatkan model prototaip "Ami For All".
Projek ini lahir pada tahun 2022 dan diusulkan oleh Christophe Lapeye, salah seorang pekerja di Stellantis.

Sebuah prototaip kuadrisikal "Ami For All" telah dibangunkan menerusi kerjasama dengan syarikat modifikasi kereta untuk golongan kurang upaya Perancis PIMAS.
Beza dengan Citroen Ami standard, Ami For All ini menampilkan bukaan pintu yang lebih luas bagi membolehkan golongan pengguna kerusi roda masuk dan keluar.

Dalam ruang kabin turut disediakan sebuah tombol khas (seakan tombol gear) untuk kawalan pecutan dan brek, serta penambahan tombol pada roda stereng.
Kerusi roda yang digunakan oleh pemilik OKU boleh disimpan pada ruang bersebelahan pemandu, atau digantung pada rak aluminium yang terletak di bahagian belakang kereta.

Citroen Ami For All ini masih lagi mengekalkan trenkuasa motor elektrik tunggal berkuasa 8 hp, dipadankan dengan pek bateri 5.5 kWh yang membenarkan jarak gerak sejauh 70 km untuk sekali cas penuh, dan kelajuan maksimum 45 km/j sahaja.
Difahamkan, model prototaip ini akan dipamerkan pada acara pameran perdagangan Paris Autonomic 2023 bermula 6-8 Jun ini.
Buat masa ini, tiada sebarang perancangan untuk merealisasikan model prototaip ini, namun terdapat kemungkinan ia bakal diberikan lampu hijau sekiranya mendapat sokongan penuh daripada pihak pelanggan yang berminat.