Citroën Ami Tonic, EV comel yang berharga RM45k di UK

oleh Muhammad Md Tajudin|
Citroën Ami Tonic
Citroën Ami Tonic
Pada masa industri automotif hari ini hebat dengan kenderaan elektrik, terdapat cabaran yang perlu ditangani seperti polisi, infrastruktur dan harga.

Faktor harga sememangnya memainkan peranan penting dan polisi seperti rebat dan pengecualian sedikit sebanyak dapat membantu.

Namun, harga kenderaan elektrik itu sendiri perlu lebih mampu milik dan setakat ini tidak semua pengeluar boleh menawarkannya kecuali di China.

Tidak semua bukan bermaksud semua dan Citroën tampil dengan Ami. Jadikannya sebuah kenderaan elektrik ringkas dan buat dengan bergaya!
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024
Citroën Ami Tonic

Unik tentang Ami ianya berada dalam kategori quadricycle elektrik atau kereta mikro yang direka lebih ringkas tanpa perlu mematuhi peraturan ketat kereta biasa.

Bagaimanapun, quadricycle tertakluk kepada berat, kuasa enjin dan kelajuan.

Citroën Ami bukanlah model baharu, ianya dikeluarkan sejak tahun 2020 dan sudah beberapa kali artikel mengenai model ini ditulis di Careta.

Di United Kingdom, ada varian baharu yang diperkenalkan iaitu Ami Tonic dan menggantikan Ami Vibe yang ditawarkan sebelum ini.

Citroën Ami Tonic

Ami kekal comel dan unik dan varian Tonic tampil dengan skema warna khaki dan kuning selain beberapa ciri luaran baharu.

Di antaranya bingkai lampu depan baharu ala kaca mata hitam dan rel bumbung hiasan. Turut dipasang pelekat simbol + dan - sebagai identiti elektrik.

Riasan kuning juga digunakan pada bahagian dalam seperti pembuka pintu, cangkuk beg dan dua panel depan selain riasan khaki pada ruang simpanan papan pemuka dan sekeliling jaring pintu.

 

Citroën Ami Tonic

 

Elemen bermain diserlahkan melalui simbol arahan anak panah bagi menggunakan pemegang pintu dan tingkap.

Perlu diketahui Ami tidak mempunyai penghawa dingin namun dilengkapi pemanas.

Selain ciri-ciri khas, Ami Tonic dilengkapi aksesori standard seperti pemegang telefon pintar, tiga bekas simpanan, jaring pintu dan jaring pemisah tengah.

Turut dilengkapi dongel DAT@AMI bagi menghubungkan telefon pintar dengan aplikasi My Citroën.

Citroën Ami Tonic

Dari segi teknikal, Ami Tonic dibekalkan bateri 5.5 kWj yang boleh dicas penuh dalam tempoh tiga jam.

Kesemua varian Ami dilengkapi motor elektrik 6kW dan boleh dipandu dengan kelajuan maksimum 45 km/j dan jarak gerak sehingga 74 kilometer (WMTC/World Motorcyle Test Cycle).

Di UK, Citroën Ami Tonic ditawarkan dari £8,695 (RM45,014).

Penulis: Muhammad Md Tajudin

Citroën Ami Tonic