Citroën BX, ada yang masih ingat? Usia hampir 40 tahun!

oleh Muhammad Md Tajudin|
Citroën BX
Citroën BX
Jenama Citroën sebenarnya bertapak lama di negara kita. Satu di antara model popular ialah Citroën BX yang pertama kali diperkenalkan di Menara Eiffel pada 23 September 1982.

Kini dalam tahun ke-40, Citroën BX masih nampak seri, moden dan futuristik. Faktor itu disumbangkan oleh perkadaran dan juga garisan bersegi.

Citroën sebenarnya memperkenalkan model baharu C5 X pada Pameran Rétromobile 2022 di Paris pada 16 Mac.

Turut dibawa ialah pelbagai model klasik seperti 2CV Sahara, Rosalie 10, CX 2000 Pallas dan sebagainya.

Jadi apa kaitan C5 X dengan BX?
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024
Citroën C5 X 01

 

C5 X dibangunkan dengan pelbagai pengaruh model klasik seperti CX, XM, DS dan boleh dilihat pada reka bentuk model baharu itu.

Nak kata moden pun ya, klasik pun ya. Secara langsung, model yang memegang nama X mempunyai sejarah dan legasi panjang.

Kembali kepada BX, selepas Menara Eiffel, model itu dibawa ke Pameran Kenderaan Paris ke-69 pada 30 September 1982.

Seterusnya adalah sejarah apabila BX lama di pasaran sehingga pengeluaran ditamatkan pada Jun 1994 dengan jualan melebihi 2.3 juta unit!

 

Citroën C5 X

 

BX bukan direka sembarangan. Citroën mendapatkan khidmat Bertone yang terkenal dari Itali bagi merekabentuknya.

Marcello Gandini menghasilkan bentuk asal yang kemudiannya diadaptasi kepada BX. Beliau juga adalah pereka Lamborghini Countach.

Selain reka bentuk menarik, BX dilengkapi teknologi hebat suspensi hidro pneumatik yang memberikan keselesaan kepada penumpang.

Bahagian dalam juga menarik dengan reka bentuk moden dan bersegi. 

 

Citroën CX 2400 Pallas Super 1976
Citroën CX 2400 Pallas Super 1976

 

Dari segi mekanikal, BX digerakkan enjin 1360cc berkuasa 62hp dan 72hp dan 1580cc 90hp. Banyak enjin lagi sepanjang penawarannya, dari 1.1 liter petrol hingga 1.9 liter diesel.

Lagi ciri inovatif BX ialah komponen seperti bampar, bonet dan panel sukuan yang diperbuat daripada bahan komposit.

BX nampak besar tetapi model paling ringan hanya seberat 885kg!

Lama di pasaran, BX didatangkan dengan beberapa perubahan pada gayaan dan kelengkapan seperti bumbung suria dan meter digital.

 

Citroën BX 19GT

 

Turut ditawarkan ialah enjin berkuasa 160hp dan teknologi seperti suntikan bahan api, transmisi automatik dan pacuan empat roda.

Lagi menarik ada model berprestasi BX 4 TC Group B dengan enjin 2141cc berkuasa 200hp dan kelajuan maksimum 217 km/j.

Seperti namanya, model itu digunakan di dalam Kejohanan Rali Dunia! Ditawarkan kepada umum, BX 4 TC dikeluarkan sebanyak 200 unit sahaja.

Inilah kisah ringkas Citroën BX, masih kekal menarik walaupun usia puluh tahun!

Penulis: Muhammad Md Tajudin