Citroen e-Berlingo - van elektrik 134 hp dengan jarak operasi 280 km

oleh Mohamad Hanif|
Citroen Berlingo merupakan van panel kembar kepada model Peugeot Partner dan platform yang sama juga turut digunakan oleh Toyota menerusi model ProAce City pada tahun 2019.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Versi elektrik untuk Berlingo, iaitu e-Berlingo telah pun dilancarkan oleh Citroen baru-baru ini membawakan trenkuasa sifar emisi yang sama digunakan pada model Peugeot, iaitu motor elektrik tunggal yang berkuasa 134 hp dan 260 Nm.

Motor elektrik ini kemudian dipadankan dengan pek bateri berkapasiti 50 kW yang membenarkan jarak operasi sejauh 280 km dan kelajuan tertinggi dihadkan kepada 135 km/j.

 


Citroen e-Berlingo ini memerlukan masa kira-kira 7.5 jam untuk dicas penuh dengan menggunakan pengecas Wallbox 7 kW, atau lima jam menggunakan pengecas 22 kW atau 80 peratus kapasiti bateri dalam masa 30 minit menggunakan pengecasan pantas 100 kW.

Untuk disesuaikan dengan kegunaan pelanggan, e-Berlingo 2022 boleh didapati dalam dua varian - Medium (4.4 meter) atau XL (4.75 meter), dan boleh didapati dalam konfigurasi lima atau tujuh tempat duduk (XL sahaja).

Kapasiti ruang kargo mampu mencecah 775 liter untuk varian Medium dan 1,050 liter untuk XL dengan lima tempat duduk, dan boleh diperbesarkan sehingga 2,126 liter untuk memuatkan barangan sepanjang 3.05 meter apabila tempat duduk belakang dilipat.

 


Tipikal sebuah EV tidak memerlukan tuil gear konvensional, sebaliknya e-Berlingo 2022 ini didatangkan dengan e-Toggle di bahagian konsol tengah untuk pemilihan Drive, Neutral, Park dan Reverse.

Selain daripada itu, terdapat suis fungsi brek regeneratif dan mod pemanduan Eco, Normal atau Power dengan kuasa masing-masing dihadkan kepada 60 kW (80 hp), 80 kW (107 hp) dan 100 kW (134 hp).

 


Antara ciri yang dimuatkan pada ruang kabin termasuklah paparan sentuh lapan inci dengan integrasi peranti pintar, skrin kluster digital 10 inci, sistem paparan head-up berwarna, serta ciri keselamatan seperti bantuan mula mendaki, bantuan menurun cerun, sistem brek aktif, amaran keluar laluan, sistem pemantauan titik buta, pengesanan papan tanda trafik, serta amaran tumpuan pemandu.

Model elektrik Citroen e-Berlingo 2022 ini bakal dijual di benua Eropah menjelang separuh kedua tahun ini.