Sama seperti Civic Hatchback e:HEV, Civic Sedan e:HEV turut didatangkan dengan unit trenkuasa hibrid baharu, terdiri daripada enjin 2.0 liter kitaran Atkinson yang dipadankan dengan dua motor elektrik.
Secara keseluruhan, Civic Sedan e:HEV ini mampu menjana kuasa setinggi 181 hp dan daya kilas 315 Nm, atau 19 hp/55 Nm lebih tinggi berbanding model Civic Si.
Terdapat dua varian ditawarkan dengan trenkuasa e:HEV ini, iaitu EL+ dan RS - versi sporti yang sebelum ini didatangkan dengan enjin VTEC Turbo.
Dari segi penampilan, model baharu ini hanya boleh dibezakan menerusi logo H dengan elemen warna biru, serta lencana e:HEV sebagai bukti ia sebuah kereta hibrid.
Kelengkapan lain yang dimuatkan termasuklah rim bersaiz 18 inci, corong pendingin hawa untuk baris kedua, tempat duduk belakang boleh lipat nisbah 60:40, skrin kluster instrumen digital 10.25 inci, slot pengecasan nirwayar Qi, dan kad kunci pintar.
Selain ciri Honda LaneWatch, Civic e:HEV turut mendapat kelengkapan Honda SENSING secara standard merangkumi brek kecemasan autonomi, kawalan jelajah adaptif, bantuan pengekalan lorong, bantuan suluhan tinggi automatik dan amaran pergerakan hadapan.
Harga jualan Honda Civic e:HEV bermula dari 1,150,000 baht (RM144,715) untuk varian EL+ sementara varian RS e:HEV pula bermula dari 1,270,000 baht (RM159,816).