Civic Type R FL5 JDM lagi berkuasa daripada USDM, harga mula RM158k

oleh Muhammad Md Tajudin|
Honda Civic Type R FL5
Honda Civic Type R FL5
Seperti yang dilaporkan sebelum ini, Honda Civic Type R FL5 pasaran Amerika Syarikat (USDM) mempunyai kuasa 315 hp pada 6,500 rpm dan daya kilas 420 Nm dari 2,600 hingga 4,000 rpm.

Di dalam artikel yang sama kami turut menyatakan Civic Type R FK8 pasaran Eropah dan Jepun mempunyai kuasa lebih tinggi.

Malah sebelum FK8, Civic Type R JDM lebih berkuasa dan tegar berbanding model Eropah. 

Ini disebabkan peraturan emisi yang berbeza di Amerika Syarikat manakala model Eropah pula lebih bersifat all rounder.
Honda Civic Type R FL5 Jepun

 

Kali ini pun sama, Civic Type R FL5 JDM lebih berkuasa dengan output 326 hp pada 6,500 rpm. Daya kilas pula kekal seperti model USDM.

Selain kuasa, Honda turut berkongsi harga di Jepun iaitu bermula daripada 4,997,300 yen atau bersamaan RM158,325.

Walaupun Civic Type R FL5 tampil lebih matang dan sederhana, Honda banyak memfokuskan kepada pemanduan dan perkara yang tidak nampak tetapi boleh dirasai.

Di antaranya respon pedal, tukaran gear dan pengendalian.

 

Honda Civic Type R FL5 Jepun

 

Memang benar nampak matang namun Civic Type R FL5 mempunyai badan yang berisi dan berjaya dimainkan dengan baik oleh pereka Honda.

Bahagian depan ringkas dan dibuat supaya dapat memainkan peranan yang baik dalam penyejukan. 

Sebagai contoh bukaan gril depan dibesarkan dan bahagian bukaan efektif radiator ditingkatkan kepada 48 peratus.

Saiz roda turun kepada 19 inci berbanding 20 inci sebelum ini namun lebih lebar dan dibangunkan dengan kerjasama Michelin.

 

Honda Civic Type R FL5 Jepun

 

Lebar tayar bertambah kepada 265 mm berbanding 245 mm pada Type R FK8 dan menggunakan kompaun bunga dari teknologi khas Michelin.

Hasilnya boleh dilihat pada cengkaman yang cemerlang di atas permukaan kering selain permukaan basah dan kadar kehausan.

Satu lagi perkara menarik pada Civic Type R FL5 ialah tiga muncung ekzos yang agak besar dan menonjol di belakang. 

Bagi menghasilkan bunyi enjin yang tersendiri, frekuensi bunyi pertengahan semasa kereta dipecut telah dipertingkatkan dan bunyi ekzos tulen yang berkuasa dapat dinikmati.

 

Honda Civic Type R FL5 Jepun

 

Selain itu, Honda turut menggunakan injap ekzos aktif pada paip tengah peredam bunyi.

Dengan mengoptimumkan bukaan injap mengikut kelajuan enjin, Honda dapat mempertingkatkan output enjin dan juga bunyi ekzos yang berkuasa.

Pada pada masa yang sama peraturan bunyi kenderaan dapat dipenuhi. Ini sebenarnya aspek penting apabila pengeluar mahu 'bermain' dengan ekzos.

Turut digunakan ialah Sistem Kawalan Bunyi Aktif (ASC) bagi menambah nikmat halwa telinga.

 

Honda Civic Type R FL5 Jepun

 

Selari dengan perkembangan semasa, Civic Type R FL5 dilengkapi teknologi bantuan pemanduan Honda Sensing.

Di antaranya Kawalan Jelajah Adaptif (ACC), Sistem Bantuan Pengekalan Lorong (LKAS), Sistem Pembrekan Mitigasi Pelanggaran (CMBS) dan pelbagai lagi.

Juga selari dengan perkembangan semasa, hatchback berprestasi ini dilengkapi perakam data LogR yang mengandungi pelbagai maklumat dan boleh dihubungkan dengan telefon pintar.

Honda mensasarkan untuk menjual 400 unit Civic Type R FL5 sebulan di Jepun.

Ada lima warna yang ditawarkan iaitu Championship White, Sonic Gray Pearl, Flame Red, Racing Blue Pearl dan Black Pearl.

Penulis: Muhammad Md Tajudin

Honda Civic Type R FL5 Jepun