Clive Sutton bikin CS850GT, Mustang paling berkuasa di UK!

oleh Muhammad Md Tajudin|
Clive Sutton CS850GT
Clive Sutton CS850GT
Pada Januari 2019, sebuah syarikat tempatan iaitu Hamawangsa memperkenalkan pikap berprestasi Sutton CS3500. 

Hamawangsa bukan setakat memasarkan pikap tersebut malah turut memasangnya di Gurun, Kedah.

CS3500 sebenarnya adalah Ford F150 Raptor yang diubah suai oleh Clive Sutton dari United Kingdom untuk dipandu sebelah kanan.

Clive Sutton bukan syarikat baharu, ia ditubuhkan lebih 30 tahun lalu dan menawarkan pelbagai naik taraf dan ubah suai kenderaan jenama Amerika Syarikat dan Eropah.

Apa projek terbaru Clive Sutton? CS850GT Mustang atau asalnya adalah Ford Mustang 5.0 liter V8.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02
Clive Sutton CS850GT

 

Clive Sutton membangunkan model ini selepas menerima maklum balas dari pelanggan yang kecewa apabila Ford tidak menawarkan Shelby GT500 dengan pemanduan sebelah kanan untuk pasaran UK.

Clive Sutton bukan setakat menukar komponen dari kiri ke kanan tetapi turut mengubahsuai enjin Mustang.

Kuasa yang dicapai ialah 847hp dan hampir sekali ganda dari 454hp dari Ford Mustang standard. Daya tujahan pula ialah 902 Nm.

Output kuasa tersebut sebenarnya lebih tinggi berbanding Shelby GT500.

 

Clive Sutton CS850GT

 

Berikut ialah ubah suai dan kelengkapan pada CS850GT:

  • Menggunakan Whipple Supercharger yang ditala semula.
  • Intercooler baharu.
  • Ekzos Quad Active XFORCE.
  • Transmisi enam kelajuan manual tukaran singkat (short shift).
  • Suspensi dan casis dinaik taraf mengikut jalan raya di UK dan Eropah.
  • Naik taraf bar anti oleng depan dan belakang, bracing dan komponen subframe baharu.
  • Cakera brek DBA dan pad Hawk.
  • Roda custom Vossen 20 inci.

Berikut pula ialah kelengkapan luaran dan dalaman CS850GT:

  • Lip bampar depan baharu, rocker sisi (tepi kereta) gentian karbon.
  • Valance bampar belakang yang memuatkan empat corong ekzos.
  • Lampu depan tiga baris dengan warna baharu boleh laras.
  • Lampu LED sisi dan belakang.
  • Butang penghidup enjin warna merah dengan logo Sutton.
  • Papan pemuka dengan kemasan gentian karbon.
  • Stereng rata bawah dengan logo Sutton.
  • Pemilik boleh memilih sendiri kemasan dan warna dalaman dengan kombinasi Alcantara dan kulit serta sulaman warna kontra.

 

Clive Sutton CS850GT

 

Dengan pakej kuasa, luaran dan dalaman berapakah harga CS850GT?

Dari £115,000 (RM668,565) dan anda boleh menambah lagi beberapa komponen untuk meningkatkan prestasi.

Di antaranya ialah spoiler litar gentian karbon Sutton dan warna dalaman pilihan sendiri.

Clive Sutton adalah satu daripada pengimport terbesar Ford Mustang dan Shelby Mustang di UK.

Syarikat penala dan pengubahsuaian ini mempunyai bahagian khusus untuk Mustang iaitu Sutton Bespoke dan beroperasi sejak tahun 2016.

Sebelum CS850GT, mereka telah membangunkan dua buah Mustang iaitu CS700 dan CS800.

Penulis: Muhammad Md Tajudin

 

Clive Sutton CS850GT