COVID-19: Garis panduan untuk p-hailing dikeluarkan

oleh SALINA JALIL|
Kementerian Pengangkutan hari ini mengeluarkan garis panduan untuk perkhidmatan penghantaran makanan, minuman dan bungkusan (parcel) menggunakan motosikal atau p-hailing (parcel-hailing) sepanjang penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).


Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, mana-mana syarikat yang menyediakan perkhidmatan penghantaran barangan menggunakan motosikal bagi tujuan penghantaran makanan, minuman dan bungkusan secara dalam talian mesti mematuhi garis panduan yang ditetapkan.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

 

Garis panduan itu antaranya mewajibkan penunggang memiliki lesen memandu penuh (CDL) yang sah dan berumur tidak kurang daripada 18 tahun, selain bebas daripada senarai hitam Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) atau Polis Diraja Malaysia (PDRM).

 

Katanya, selain mematuhi peraturan jalan raya seperti memakai topi keledar dan menggunakan laluan motosikal yang diwartakan sekiranya ada, kotak yang dibawa penunggang bagi mengisi barangan hendaklah mematuhi saiz yang telah ditetapkan JPJ.

 

"Semua operator dan penunggang hendaklah menitikberatkan soal kesihatan, mengamalkan penjarakan sosial dan transaksi tanpa sentuhan atau contactless transaction selagi mana boleh disediakan," kata Ka Siong dalam kenyataan hari ini.

 

Beliau berkata, penunggang diminta untuk menjalankan proses sanitasi pembasmian kuman bagi kotak penghantaran setiap hari mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

 

Sekiranya terdapat pekerja yang dijangkiti Covid-19, pihak syarikat perlu membantu dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada KKM dalam usaha mengesan kontak pekerja yang telah dijangkiti dan pengurusan kontak, katanya.

 

"Bagi perkhidmatan p-hailing yang berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan (PBT), sekiranya penunggang dijangkiti (koronavirus) Covid-19 atau mempunyai simptom, adalah menjadi tanggungjawab individu berkenaan untuk melaksanakan langkah-langkah pencegahan penularan termasuk kuarantin diri dan memastikan tiada perkhidmatan dilaksanakan," katanya.

 

Atas dasar keselamatan, Ka Siong berkata, penunggang p-hailing dinasihatkan supaya tidak menggunakan lebuh raya antara negeri (inter-state) bagi jarak perjalanan melebihi 10 kilometer.

 

"Penunggang juga perlu mematuhi nasihat yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) termasuk tidak memasuki zon merah. Ini bertujuan menjaga keselamatan mereka yang terpaksa melalui perjalanan jarak jauh dan mencegah daripada penyebaran wabak Covid-19," katanya.

 

Katanya, waktu operasi adalah terhad dari 8 pagi hingga 8 malam sahaja, selain waktu operasi dan jenis barangan yang boleh dibawa juga tertakluk kepada zon yang telah ditetapkan oleh MKN dan peraturan semasa.

 

Ka Siong berkata, semua penunggang yang menghantar barangan perlu sentiasa membawa bersama-sama mereka surat pengesahan daripada majikan atau surat pendaftaran dengan PBT.

 

Katanya, semua penunggang p-hailing juga diwajibkan memuat turun dan mendaftar di aplikasi kendalian MKN iaitu mySejahtera (mysejahtera.malaysia.gov.my) dan perlu menunjukkan bukti pendaftaran kepada pihak penguat kuasa.

 

 

Sumber: - Bernama

Berita Berkenaan

Berita Global
Menurut laporan Sinar Harian yang memetik Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kesihatan Awam,…
Berita Global
Peraturan baharu itu akan berkuatkuasa bermula hari ini (Ahad) seperti yang dimaklumkan oleh Pihak…
Berita Domestik
Menurut presiden Persatuan Peniaga Aksesori Automotif Malaysia, Lim Bee Choo berkata, keadaan itu…