COVID-19: Pahang umum TIADA bazar Ramadan tetapi perkhidmatan atas talian disediakan

oleh SALINA JALIL|
Tiada bazar Ramadan di Pahang dan peniaga serta pengguna digalak guna portal PahangMart sebagai alternatif.


Kerajaan Negeri membuat keputusan tidak membenarkan penganjuran aktiviti Bazar Ramadan di kesemua kawasan di bawah pentadbiran 11 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri ini.


Keputusan ini diambil bagi meneruskan lagi usaha untuk membendung penularan wabak pandemik COVID-19.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

 

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata , keputusan itu juga sebagai menyahut saranan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah yang tidak menggalakkan sebarang perhimpunan membabitkan orang ramai dalam tempoh enam bulan hingga setahun tanpa mengira sama ada tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan atau tidak.

 

“Sebagaimana kita sedia maklum, PKP Fasa 1 bermula 18 Mac hingga 31 Mac lalu dilanjutkan kepada Fasa 2 sehingga 14 April ini.

 

“Umat Islam pula dijangka memulakan ibadah puasa pada bulan Ramadan pada 24 April ini.

 

“Dengan keputusan ini, sebanyak 94 lokasi penganjuran bazar Ramadan di seluruh negeri yang membabitkan 4,639 peniaga berdasarkan statistik pada penganjuran bazar Ramadan tahun lalu, tidak akan diadakan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

 

Mengambil berat kesukaran yang bakal dihadapi peniaga bazar Ramadan dan rakyat, Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri meminta pihak pengurusan aplikasi PahangGo supaya dapat menawarkan perkhidmatan dalam talian.

 

Katanya, perkhidmatan itu bagi memudahkan peniaga untuk terus meraih sumber pendapatan hasil daripada pesanan makanan yang dibuat untuk juadah berbuka puasa.

 

“Sehubungan itu, kerajaan negeri akan melancarkan platform pasar raya atas talian atau portal dikenali ‘PahangMart’ yang akan memaparkan senarai pasar raya yang beroperasi di negeri ini beserta barangan jualan mereka.

 

“Senarai tapak bazar Ramadan turut dipaparkan serta gerai jualan dan pengguna boleh melihat gambar juadah yang disediakan lalu membuat tempahan menerusi PahangGo iaitu pihak yang bertangungjawab membina portal PahangMart ini juga akan menyediakan platform penghantaran.

 

“Kepada rakyat Pahang yang berminat untuk mendaftar sebagai penghantar, boleh menghubungi PahangGo menerusi laman sosial untuk mendapatkan maklumat.

 

“Menerusi inisiatif ini diharap dapat membantu bukan sahaja rakyat untuk membeli juadah bazar Ramadan dan barangan keperluan harian lain, malah boleh membantu peniaga dan penjaja kecil untuk terus berniaga dalam tempoh yang sukar akibat wabak COVID-19,” katanya.

 

 

Buletin TV3 & BH

Berita Berkenaan

Berita Global
Menurut laporan Sinar Harian yang memetik Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kesihatan Awam,…
Berita Global
Peraturan baharu itu akan berkuatkuasa bermula hari ini (Ahad) seperti yang dimaklumkan oleh Pihak…
Berita Domestik
Menurut presiden Persatuan Peniaga Aksesori Automotif Malaysia, Lim Bee Choo berkata, keadaan itu…