Rancangan Kumpulan PSA (Peugeot, Citroen, DS, Opel dan Vauxhall) untuk memulakan operasi kilang-kilangnya di Eropah yang ditutup kerana COVID-19 tergendala kerana kesatuan pekerjanya membantah.
Kesatuan pekerja berpendapat keputusan PSA untuk memulakan operasi bagi kilang-kilang itu terlalu awal.
"Kami tak faham. Kerajaan Perancis telah melanjutkan perintah kawalan pergerakan sehingga 15 April tapi dalam masa yang sama, PSA mahu kami bekerja," tambah Jean-Pierre Mercier, juga salah satu ahli kesatuan.
Semalam PSA mengumumkan ia akan membentangkan jadual untuk aktiviti-aktiviti industri secara beransur-ansur dengan selamat, termasuk usaha untuk memastikan kesihatan pekerja terjamin.
CEO untuk PSA, Carlos Tavares (gambar atas) berkata pihak syarikat akan mengambil suhu badan pekerja, memberikan topeng muka dan memastikan jarak sosial diikuti semasa operasi.
Ia juga akan membasmi kuman pada semua alatan-alatan dan tempat kerja setiap 60 minit.
Pekerja juga akan menunggu selama tiga jam sebelum memegang perkakasan yang telah dipegang oleh pekerja lain.
Selain dari itu, PSA akan membekalkan dua kali ganda bas pekerja agar mereka tidak bersesak di dalamnya.
PSA juga akan menggunakan cara yang sama untuk pejabat-pejabat bahagian jualan dan pengurusan.
PSA sebenarnya telah memulakan operasi pembuatan di China di mana ia mempunyai usahasama dengan Dongfeng Motor di Wuhan.
* Laporan asal dari Automotive News Europe