Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud, berkata kejadian itu disedari pengawal keselamatan yang membuat rondaan di kawasan letak kereta sebelum melihat seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan.
Katanya, suspek kemudian menuju ke sebuah kereta dan masuk menerusi but kereta sebelum menghidupkan enjin kenderaan itu.
“Pengawal keselamatan yang curiga dengan perbuatan suspek terus menghubungi polis dan pada masa sama, dia bersama rakan sekerja menghampiri kereta lalu menahan lelaki terbabit.
“Pengawal keselamatan turut meminta pertolongan orang ramai yang berada di sekitar kawasan itu sementara menunggu kehadiran pihak polis pada jam 5 petang,” katanya ketika dihubungi hari ini.
model yang popular di kalangan pencuri pencopet sekalian alam
Abdul Rahim berkata ketika kejadian, pemilik kereta yang juga penuntut sebuah kolej berusia 23 tahun meletakkan keretanya di kawasan itu pada jam 12.30 tengah hari dan pulang ke rumah sewa di lokasi berdekatan.
Katanya, kereta ditinggalkan dalam keadaan berkunci dan jam 5.10 petang, pemilik menerima panggilan daripada rakannya yang memaklumkan kenderaan itu cuba dicuri oleh seorang lelaki.
“Pemilik kereta kemudian membuat laporan di Balai Polis Kota Bharu untuk tindakan lanjut.
“Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine dan mempunyai 31 rekod kesalahan lampau termasuk dadah.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 379A/511 Kanun Keseksaan kerana cuba mencuri kereta,” katanya.
Abdul Rahim turut menasihatkan orang ramai supaya menggunakan kunci tambahan apabila meninggalkan kereta masing-masing terutama kenderaan model lama yang menjadi sasaran penjenayah.
Sebuah video selama tiga minit viral sejak malam tadi, memaparkan lelaki itu dengan kedua-dua kaki dan tangan diikat pada palang besi oleh orang ramai, dipercayai kerana cuba mencuri kereta.
Sumber: Berita Harian