Cucu Mandela bidas kerajaan Malaysia: "Tolonglah serius untuk keselamatan jalan raya"

oleh Penyumbang Rencana 2|
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

BANGKOK: Cucu kepada Nelson Mandela, Zoleka telah membidas Malaysia kerana dikatakan kerajaan telah bersikap sambil lewa dan tidak serius mengambil langkah sebenar terhadap usaha keselamatan jalan raya selama ini. 


Duta Global untuk Inisiatif Kesihatan Kanak-Kanak dan kempen perangi kecederaan jalanraya dengan tidak berselindung melahirkan rasa tidak puas hati setelah mengetahui mengenai kadar kematian yang membimbangkan sejak tahun-tahun kebelakangan ini di Malaysia yang melibatkan bayi dan kanak-kanak sebagai penumpang motosikal serta penemuan data tahunan yang mengejutkan bahawa kanak-kanak juga terbunuh kerana menunggang motosikal.
 

Statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) 2017 menyatakan bahawa 14 bayi dan anak-anak kecil berusia sehingga lima tahun telah terbunuh semasa dibawa menaiki motosikal diikuti dengan 51 dari mereka mengalami kecederaan. Rekod dua tahun yang lalu pula menyatakan bahawa terdapat 17 korban di kalangan bayi dan anak-anak kecil, manakala 58 telah cedera.


"Apakah yang kerajaan (Malaysia) telah lakukan untuk menangani perkara ini? Di manakah gelombang kemarahan di Malaysia apabila begitu ramai kanak-kanak terbunuh kerana tragedi jalan raya?” kata Zoleka kepada Careta.my selepas menyampaikan ucaptama pada Persidangan Dunia ke 13 mengenai Pencegahan Kecederaan dan Promosi Keselamatan (Keselamatan 2018) di Bangkok.

 

 

Laporan 2016 dari Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan bahawa nahas yang melibatkan kenderaan pengangkutan adalah merupakan punca utama kematian bagi kanak-kanak di negara ini di antara umur 0 hingga 14 tahun. 

 

Menurut 'Laporan Perangkaan Nahas Jalan Raya PDRM 2017' bagi klasifikasi umur antara 0 hingga 10 tahun melaporkan bahawa 156 bayi, anak-anak kecil dan kanak-kanak telah menjadi korban jalan raya dan 611 dari mereka telah mengalami kecederaan (parah dan ringan). 

 

Sambil menempelak sikap lewa kerajaan dan pihak berkuasa, Zoleka berkata: “Tolong berhenti buat alasan. Jelas kami kini sedang tewas dalam perjuangan untuk melindungi kanak-kanak." 


"Ini adalah satu isu yang sangat peribadi dan dekat di hati saya. Saya adalah seorang ibu yang perjuangkan keselamatan kanak-kanak berikutan kematian anak perempuan saya Zenani yang terbunuh kerana pemandu mabuk. 

 

“Sudah terlalu lama kita tengok sikap banyak negara dan kerajaan yang masih buat hal macam biasa. Saya telah banyak mendengar janji oleh kerajaan di seluruh dunia untuk mengatasi masalah kecederaan jalan raya (lalu lintas) ini tetapi masih banyak kerajaan yang gagalkan (melindungi) kanak-kanak," katanya mengeluh.

 

Empat tahun yang lalu, Kementerian Pengangkutan Malaysia telah melancarkan Pelan Keselamatan Jalan Raya 2014-2020 selaras dengan usaha seluruh dunia melalui Pelan Dekad Tindakan Keselamatan Jalan Raya Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu 2011-2020 dengan matlamat untuk mengurangkan kadar nahas jalan raya dan kematian sebanyak 50 peratus menjelang 2020.

 

"Mana-mana kerajaan sepatutnya serius melindungi anak-anak dan bukan sekadar membuat ikrar. Kami hendak melihat kepimpinan sebenar dan usaha sebenar. Adakah mereka mahu laksanakannya atau adakah mereka akan gagalkan lagi anak-anak kita?" katanya lagi.


Mengikut rekod, Malaysia juga mencatatkan bilangan kematian dan kecederaan yang tinggi di kalangan kanak-kanak dan golongan remaja dengan terdapatnya penunggang seawal berumur enam tahun yang meletakkan nyawa mereka di hujung tanduk dengan menunggang motosikal. 

 

Tahun lalu, 13 penunggang tidak berlesen dari umur enam hingga 10 tahun telah terkorban dan 74 kanak-kanak mengalami kecederaan, manakala 15 kanak-kanak telah terbunuh sebagai pembonceng motosikal dengan 89 cedera.

 

Sebagai perbandingan, berdasarkan statistik PDRM pada 2016 untuk kumpulan umur yang sama, 14 kanak-kanak telah terbunuh semasa menunggang motosikal diikuti 95 cedera manakala 18 kanak-kanak mati dan 93 cedera sebagai pembonceng.


Laporan Statistik 2017 oleh PDRM juga mendedahkan bahawa 807 penunggang tidak berlesen bagi umur di antara 11 dan 15 tahun adalah sebahagian daripada angka kemalangan dengan 260 telah terbunuh, 178 mengalami kecederaan serius dan 369 kes kecederaan kecil.


Pada tahun 2016, statistik penunggang tidak berlesen antara 11 dan 15 tahun telah mencatatkan 266 kematian, 260 kanak-kanak mengalami kecederaan serius dan 453 dengan kecederaan ringan.


"Ini satu kenyataan yang sangat menyedihkan. Tidak kiralah sama ada ibu bapa membenarkan anak mereka menunggang motosikal atau ini adalah satu perkara biasa untuk masyarakat di Malaysia tapi di manakah Polis? Tolonglah serius sebab ini sudah terlalu lama dan tidak boleh diterima langsung," kata Zoleka.

 

Walaupun Zoleka menyedari motosikal adalah kenderaan pengangkutan utama bagi keluarga berpendapatan rendah, dia inginkan umum menyedari bahawa nahas jalan raya adalah pembunuh terbesar kanak-kanak dan remaja di seluruh dunia.


"Hari ini, kira-kira 3,000 kanak-kanak dan remaja akan kehilangan nyawa mereka atau menghadapi kecederaan serius di jalan raya di seluruh dunia. Bila nahas berlaku, kanak-kanak tiada perlindungan, sebaliknya berhadapan hukuman mati," kata Zoleka. "Walhal sebenarnya, nahas dan kematian di jalanraya boleh dielakkan." 

 

 

Jalan raya lebih selamat untuk kanak-kanak


Sebagai Duta Global untuk Inisiatif Kesihatan Kanak-kanak dan kempen dalam kecederaan lalu lintas jalan raya, Zoleka Mandela gigih perjuangkan isu keselamatan kanak-kanak berikutan kematian anak perempuannya yang tragis lapan tahun lalu.


"Pengabaian keselamatan jalan raya telah menyebabkan saya kehilangan Zenani," katanya semasa ucaptama pada Persidangan Dunia Keselamatan 2018 minggu lalu.


Zenani berusia 13 tahun ketika terbunuh di jalan raya Johannesburg ketika berada dalam kenderaan bersama keluarga selepas menghadiri konsert Piala Dunia Afrika Selatan 2010. Namun, ingatan mengenai anak perempuannya masih segar.


"Tahun ini, Zenani sepatutnya meraikan harijadi ke 21,” kata ibu berusia 38 tahun itu.


Walaupun begitu banyak usaha untuk meningkatkan keselamatan jalan raya di peringkat global, beliau berkata tidak banyak kemajuan telah dicapai dalam menurunkan kematian di jalan raya di kalangan kanak-kanak. 

 

Antara misinya adalah melihat kanak-kanak sampai ke sekolah dengan selamat. 

 

Minggu lalu, Zoleka telah melancarkan ‘global tookit’ iaitu sebagai garis panduan kenal pasti risiko untuk rujukan kepada mana-mana kerajaan tempatan, pihak berkuasa dan pertubuhan bagi perjalanan lebih selamat untuk kanak-kanak.

 

"Cukup-cukuplah ketidakadilan. Kita tidak lagi mahu dan tidak akan menerima pembunuhan yang tidak masuk akal di jalan raya kita. Sebenarnya krisis ini boleh dicegah sepenuhnya dan tindakan boleh diambil," kata Zoleka. 

 

Kisah ini ditulis menerusi sokongan dari Pusat Antarabangsa untuk Wartawan (ICFJ) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi Program Pelaporan Fellowship Keselamatan 2018 dan Philanthropies Bloomberg.

 

* Penulis: Shahrim Tamrin

** Gambar Zoleka oleh Yayasan FIA