Berbanding model asas Born, Born VZ telah diberi naik taraf untuk menjadikannya sebuah hot hatch elektrik berprestasi.
Diasaskan dari platform MEB Volkswagen Group, Born VZ menerima naik taraf pada motor elektriknya yang menjadikannya model terpantas bersama platform tersebut.
Ia dilengkapi motor elektrik tunggal dipertingkat pada roda belakang (RWD) yang dikuasakan pek bateri 79 kWj, menghasilkan sehingga 322 HP dan 545 Nm, dengan jarak gerak sehingga 539 km.
Tetapan trenkuasanya membolehkan hot hatch berkuasa itu memecut dari 0-100 kmj dalam masa 5.7 saat, dengan kelajuan tertinggi sehingga 200 kmj.
Selain trenkuasa, bahagian casis turut menerima naik taraf merangkumi bahagian suspensi bahagian belakang, di mana ia dilengkapi penyerap hentak dan spring baharu untuk kawalan yang lebih baik.
Sistem stereng turut dinaik taraf secara fizikal dan elektronik untuk memberikan pengalaman pemanduan yang lebih sporti, sementara sistem brek telah ditala semula untuk disesuaikan dengan semua naik taraf tersebut.
Pada bahagian luaran, Born VZ didatangkan dengan dua pilihan warna baharu iaitu Dark Forest dan Midnight Black, serta rim bersaiz 20 inci yang lebih lebar dibaluti tayar berprestasi tinggi.
Pada bahagian dalaman pula ia didatangkan dengan naik taraf tempat duduk bucket, serta naik taraf skrin infotainment bersaiz 12.9 inci.
Pembeli juga akan ditawarkan dengan pilihan tambahan sistem bunyi Sennheiser 425-watt serta 10 pembesar suara.
Menariknya untuk pembeli pasaran Eropah terutama sekali, versi prestasi bagi Volkswagen ID 3 dijangka akan dilancarkan tahun ini, di mana ia akan menerima naik taraf trenkuasa dan casis yang sama seperti Cupra Born VZ.