Daihatsu milik penuh Toyota - apa kesan pada Perodua?

oleh Careta.my|
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024
Minggu lalu Toyota mengumumkan pembelian sepenuhnya baki saham 51 peratus milik Daihatsu dan menjadikan ia pemilik mutlak syarikat kenderaan kompak tersebut. Daihatsu sebenarnya sudah lama tidak begitu kompetitif dari segi global. Mereka sudah lama mengundur diri dari pasaran Eropah dan sekarang cuma menumpukan fokus sepenuhnya pada pasaran Asia Tenggara. Jumlah jualan Daihatsu di rantau ini sudah cukup untuk membantu Toyota dalam memastikan ia memegang takhta pengeluar kenderaan nombor satu di dunia. Lebih-lebih lagi apabila pesaing mereka Volkswagen yang berada di tangga kedua masih terkial-kial mencari kekuatan di Asia Tenggara. Toyota, seperti mana-mana syarikat Jepun yang lain, sudah memandang lebih dari lima tahun ke hadapan dan pembelian Daihatsu akan menambahkan lagi kekuatan penjualannya bila jumlah penjualan Toyota boleh digabungkan dengan Daihatsu. Impak kepada Perodua dijangkakan sangat besar. Sebelum itu,kita harus ingat bahawa Perodua sudah lama menyusun langkah mereka dengan bijak. Di bawah ialah senarai pelaburan yang telah dilakukan oleh Daihatsu dan Perodua dalam tempoh terdekat ini dan juga persoalan-persoalan mengenai perkembangan tersebut.   1. Kilang transmisi di Sendayan Pada tahun 2014, Daihatsu telah membuka kilang pengeluar transmisi tercanggih di Sendayan, Negeri Sembilan. Kilang milik bersama Akashi Kikai Jepun (51 peratus), Daihatsu Motor Corporation (39 peratus) dan Perodua (10 peratus) dibina dengan modal lebih RM200 juta dan membekalkan transmisi automatik dan manual untuk Perodua. Kapasiti kilang ini ialah sebanyak 200,000 unit setahun.   2. Kilang enjin terbaharu Daihatsu dan Perodua juga akan memulakan operasi kilang pembuat enjin mereka di Sendayan, berhadapan dengan kilang transmisi Akashi Kikai. Operasi sepatutnya bermula pertengahan tahun ini dan pelaburan yang dilakukan bernilai RM600 juta. Ia bakal menghasilkan 140,000 unit enjin setahun. Enjin yang akan dibina ialah enjin 1.3L dan 1.5L dari Toyota. Kilang enjin ini akan memastikan Toyota dan Perodua (Daihatsu) untuk terus berdaya saing, terutama dalam keadaan di mana nilai matawang jatuh teruk dan menyebabkan kos megimport naik mendadak.   3. Proving ground Perodua Perodua juga telah membina "proving ground" atau tapak ujiannya sendiri, yang terletak bersebelahan dengan premis mereka sekarang. Careta menjadi antara beberapa media yang pernah memandu di tapak ujian tersebut, walaupun ketika itu hanya bahagian berbukit sahaja yang telah siap. Tidak seperti tapak ujian Proton, tapak ujian Perodua ini lebih praktikal kerana ia mempunyai pelbagai laluan yang menghampiri keadaan jalanraya sebenar. Laluan berbukit dan berselekoh itu mengingatkan penulis kepada laluan di lebuhraya Karak, lengkap dengan pembahagi (armco barrier) dan tebing jalan sebenar. Yang tiada cuma gerai menjual lemang dan penunggang-penunggang superbike. Kenapa Perodua membina tapak ujian walhal operasi Perodua sebelum ini lebih kepada pemasangan sahaja? Tapak ujian ialah satu fasiliti pentng dalam R&D kenderaan. Adakah Perodua atau Daihatsu bakal membina pusat penyelidikan R&D di sini? EMY_0018 4. Kilang PGM bernilai RM1.3 billion Terbaru ialah perasmian kilang Perodua Global Manufacturing Sdn Bhd (PGM) yang bernilai RM1.3 bilion. Untuk orang ramai, tiada apa yang signifikan tentang pembukaan kilang ini tetapi realitinya, ia ialah tanda permulaan besar akan rancangan besar Toyota - Daihatsu - Perodua. Kilang baru tersebut dijalankan seperti sebuah entiti berbeza. Pekerja Perodua yang ingin bekerja di kilang baru terpaksa melalui proses temuduga dan melepaskan jawatan dengan syarikat Perodua dan bekerja dengan PGM. Malah, kilang PGM dikawal rapi dan duduk di luar pagar kilang lama Perodua. Paling penting, konsep kilang PGM sangat hampir pada operasi kilang Daihatsu sendiri. Kerana itu, jumlah yang keluar dari kilang PGM sangat menakjubkan untuk Malaysia. Nilai purata DPU (Defect Per Unit) untuk PGM ialah 0.1, seperti yang dikongsikan oleh Datuk Ahmad Suhaimi, Pengarah Urusan Perodua Global. DPU 0.1 bermaksud satu kecacatan dalam setiap 10 kenderaan yang siap dipasang. Standard ini sangat tinggi untuk mana-mana kilang kenderaan di Malaysia, tetapi masih jauh dari kilang-kilang Toyota di Jepun yang berada pada tahap 0.01 DPU, iaitu satu kecacatan dalam 100 unit kenderaan. PGM mampu membina 200,000 unit kenderaan setahun dengan memerlukan 1,900 pekerja sahaja, berbanding kilang lamanya yang memerlukan lebih 5,000 orang pekerja untuk menghasilkan 250,000 unit kenderaan. Kenapa Daihatsu-Perodua mempunyai dua kilang yang mempunyai jumlah pengeluaran maksima setinggi 450,000 unit setahun sedangkan Perodua hanya menjual dalam 200,000 unit setahun? Masa depan Perodua Careta menjangkakan Perodua bakal menjadi hab serantau untuk Toyota dan Daihatsu, bukan setakat untuk pembinaan, malah dalam proses penyelidikan R&D. Kilang-kilang Perodua akan lebih berdaya saing dan negara akan mendapat imbuhan dari pertambahan eksport kenderaan kerana Perodua akan memasang kenderaan untuk pasaran Asia Tenggara juga. [caption id="attachment_2528" align="aligncenter" width="620"]Perodua-axia-74-1024x676 Perodua Axia ialah model global pertama dari PGM untuk pasaran Asia Tenggara[/caption] Ini mungkin akan menyebabkan rasionalisasi kepada vendor-vendor Perodua di mana mereka mungkin akan membekalkan komponen untuk Toyota juga. Bayangkan kemajuan yang bakal dilalui oleh vendor Perodua yang layak kerana ia menjadi batu loncatan ke pasaran global. Penyelarasan vendor juga penting kerana ia akan membantu mengawal kos pembuatan untuk Toyota. Economics of scale atau belian pukal menjanjikan kos yang lebih kompetitif sekiranya dibeli dalam jumlah yang lebih besar. Pembelian keseluruhan saham Daihatsu oleh Toyota membolehkan gergasi itu memiliki kuasa untuk membuat keputusan dengan lebih pantas. Adakah Daihatsu/Perodua akan menjadi sub-brand kepada Toyota dengan menjual kenderaan mampu milik sementara Toyota menjual produk-produk yang lebih premium? Ada kemungkinan, tetapi bukan seperti konsep BMW dan Mini tetapi lebih kepada Nissan dan Datsun, atau Renault dan Dacia. Pastinya, kita akan lihat Perodua bakal mengorak langkah yang lebih berani pada tahun ini dengan pelancaran model sedan mereka. Ia bukan sahaja tamparan kepada Proton dan pemain Jepun yang lain dan kepada Volkswagen yang masil terkial-kial mencari resipi yang sesuai di Asia Tenggara selepas cubaan pertama telah memusnahkan pelamin angan gergasi Jerman itu.