Dalam dunia sekarang, netizen lebih bijak dari pilot!

oleh HEZERI SAMSURI|
Sudah empat hari saya tidak begitu membaca berita-berita tempatan.

Antara puncanya ialah saya tahu parlimen bersidang dan berita-berita yang saya akan baca dari laporan persidangan lebih banyak mudarat dari membawa manfaat.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Membaca reaksi dan tindakan ahli politik di parlimen ialah umpama membaca komen-komen geng P-Hailing yang membela rakan mereka yang melanggar lampu isyarat. 

Namun begitu, posting dari Facebook rakan saya, Datuk Kapten Nik Huzlan Nik Hussein membuat saya membelek kembali laporan-laporan sebelum ini berkaitan isu helikopter turun di Padang Ipoh.

Saya tertarik dengan satu ayat dari beliau, "Bab isu penerbangan, jangan cepat sentap bila baca laporan sesetengah media, diaorang kejar 'like'. Tunggu dulu sehari dua."

Ini sebenarnya satu isu yang memang sudah lama berada di dalam minda saya. 

Sejak wujudnya media sosial, saya melihat kebanyakan media-media tersohor terpaksa menukar "teknik" laporan, dan antara yang paling kerap dilakukan ialah tajuk yang lebih "propa".

Membaca tajuk bukanlah satu masalah yang terbatas kepada negara Malaysia sahaja. Ia berlaku di seluruh dunia, dan media-media besar juga turut "terpaksa" melakukan yang sama kerana mereka perlukan pembaca.

Pada zaman saya menulis untuk surat khabar, tajuk sensasi kami bataskan kepada tabloid - Harian Metro, Sinar Harian, Kosmo, Harakah dan sebagainya.

Untuk akhbar besar seperti Berita Harian, New Straits Times, The Star dan lain-lain, tajuk mereka lebih profesional.

Mahu atau tidak, pembaca "profesional" sendiri sudah semakin pupus. Tajuk sensasi menjadi pilihan kerana mereka tertarik dengannya.

 

media sosial sejagat

 

Ini ialah lumrah manusia - kita lebih tertarik kepada sesuatu yang negatif. Sekiranya ada perkataan-perkataan negatif pada muka hadapan akhbar, seperti Bunuh, Mati, Seks, Rasuah - nescaya akhbar itu laku keras pada hari berkenaan.

Fungsi media pada pendapat saya tetap sama - menyampaikan laporan yang diterima.

Jika pemilik helikopter berkata beliau mendapat segala jenis kelulusan, maka itu yang akan dilaporkan.

Sekiranya pihak polis berkata permit itu lengkap, itulah yang dilaporkan.

Dan jika tukang masak berkata beliau memasak nasi ganja itu dengan cukup kasih sayang, maka itulah yang akan dilaporkan.

Pihak media sebenarnya tidak akan menokok-tambah fakta yang ada kerana itu adalah diluar etika mereka. Pendapat-pendapat anda selepas membaca laporan-laporan itu adalah pendapat berdasarkan laporan yang diberikan.

Masalah mula timbul bila sumber informasi tidak memberikan maklumat yang jelas. Untuk wartawan yang berpengalaman, mereka sudah tahu bahawa ia perlu penjelasan dan akan meminta sumber untuk beri penjelasan.

Media sekarang juga tertekan dengan tabiat media sosial di mana mereka yang paling cepat memberi maklumat akan mendapat liputan yang paling meluas.

Ini menjadikan wartawan kurang masa untuk membuat kajian terperinci dan bertanyakan pendapat dari sumber-sumber sahih.

Laporan-laporan berita juga sekarang boleh dikemaskini dengan mudah dan pantas, tak perlu menunggu 24 jam semasa zaman sebelum internet dahulu.

 

internet speed

 

Kita juga perlu tahu bahawa media sosial memberikan platform untuk semua bersuara dan kerana ia percuma, mereka akan menyuarakan segala isi hati mereka.

Menyuarakan pendapat itu memang bagus, tetapi dunia bakal kucar-kacir bila kebanyakan pembaca tidak mengenal perbezaan antara pendapat, laporan dan fitnah.

Berbalik kepada isu helikopter dengan nasi ganja, saya rasa tak ada sebarang isu langsung. Tidak ada nasi ganja yang gugur dari langit, tidak ada isu helikopter mendarat di atas rumah ahli politik dan tidak ada isu helikopter melanggar SOP.

Untuk menjadi seorang juruterbang, mereka mestilah seorang yang sangat bertanggung-jawab dan juga bijak. Mereka ini bukannya golongan yang mahu terbang dan mendarat sesuka hati, kerana mereka tahu pesawat mereka sentiasa diawasi.

Namun begitu netizen-netizen berjaya menjadikannya isu yang sangat besar dari sepatutnya. Baik netizen berbahasa Inggeris atau Bahasa Malaysia, komen-komen mereka membuktikan kesan filem Airwolf dan Blue Thunder itu masih kuat di dalam ingatan mereka.

Media sosial ialah satu platform komunikasi. Ia tidak bijak, dan ia juga tidak bodoh.

Pengguna sebenarnya yang mempunyai kedua-dua sifat itu.

Wallahuallam.