Dari Netherlands ke Australia - tiga tahun, 95 ribu kilometer dengan Golf wagon Elektrik!

oleh Mohamad Hanif|

Tiga tahun. 
1,119 hari. 
95,000 km atas jalan dengan hanya menggunakan tenaga elektrik!

Seorang lelaki Belanda, Wiebe Wakker berjaya melengkapkan perjalanan epik sejauh 95,000 km merentasi dunia dengan hanya menggunakan sebuah Volkswagen Golf berkuasa elektrik sepenuhnya. 
 


Memulakan perjalanan daripada Netherlands, Wakker menggunakan Golf retrofit berkuasa elektrik (asalnya sebuah Golf berkuasa petrol) melintasi hampir 33 buah negara termasuklah Iran, India, Myanmar, Malaysia dan Indonesia. 

Uniknya, Wakker tidak menetapkan sebarang destinasi dan hanya berpandukan kepada tawaran dan derma yang diterima berbentuk tempat tidur, tempat pengecasan dan makanan menerusi laman web Plug Me In. 

Menurut Wakker, beliau mahu mengubah pandangan dan persepsi orang ramai yang sebelum ini ragu-ragu akan prestasi dan tahap ketahanan kereta elektrik merentasi perubahan iklim dunia. 
 


Sebelum beliau menjalankan modifikasi retrofit trenkuasa elektrik terhadap Golf wagon tersebut, kereta tersebut dijangka akan menggunakan 6,785 liter petrol untuk menghabiskan perjalanan tiga tahun tersebut. 

Dengan kuasa elektrik, Golf The Blue Bandit itu mampu bergerak sejauh 200 km untuk sekali cas penuh, dan kebanyakan masa pengecasan kereta tersebut dihabiskan ketika sedang bermalam di sesuatu tempat.

Tanpa mengira sumbangan orang awam dan penaja bersama, beliau mendakwa hanya menggunakan kira-kira US$300 untuk mengecas kereta beliau sahaja, dan kebanyakannya kos tersebut digunakan pada luar kawasan negara Australia. 
 


Tiga tahun lalu, beliau mungkin tidak akan menyangka negara Netherlands bakal menjadi sebuah negara yang mesra EV - dengan 100,000 unit EV berjaya didaftarkan dan kehadiran 300,000 pusat pengecasan di seluruh negara, terima kasih kepada struktur cukai dan insentif yang disediakan kerajaan sana. 

Sumber: Channel News Asia
Sumber Gambar: Twitter @WiebeWkkr