Dato’ Abdul Rashid bukan nama asing dalam industri automotif tempatan. Berbekalkan lebih 30 tahun pengalaman dalam bidang kejuruteraan, pembuatan dan pembangunan produk, beliau sebelum ini pernah berkhidmat di PROTON sebagai Ketua Pegawai Teknikal dan kemudiannya dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar. Antara pencapaian penting di bawah kepimpinan beliau ialah pelancaran Proton X70 pada tahun 2018 model yang menjadi titik perubahan besar bagi jenama PROTON.
Selepas meninggalkan PROTON, Dato’ Abdul Rashid menyertai UMW Holdings Berhad dan menguruskan beberapa portfolio utama melibatkan mobiliti, inovasi serta pembangunan industri mampan. Pengalaman itu menjadikannya antara figura penting dalam memajukan ekosistem automotif Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Dr Li Chunrong berkata, “PROTON berbesar hati menyambut semula Dato’ Abdul Rashid Musa. Pengalaman luas beliau dalam industri automotif serta pemahaman mendalam terhadap operasi syarikat akan memberi nilai penting dalam menyokong agenda transformasi PROTON dan memperkukuh pertumbuhan masa depan. Pada masa sama, kami ingin merakamkan penghargaan kepada Ainol Azmil yang telah menjalankan tugas sebagai Pemangku Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif dari 10 Jun hingga 31 Oktober tahun ini.”
Dengan pelantikan ini, Ainol Azmil akan kembali kepada peranan asal beliau sebagai Naib Presiden, Strategi Korporat, selain terus mengetuai bahagian Perolehan Teknikal Kumpulan PROTON sebagai Pengarah Kanan. PROTON turut merakamkan ucapan terima kasih atas kepimpinan dan komitmen beliau dalam memastikan kelangsungan operasi pengurusan sepanjang tempoh interim tersebut.