Deepal G318 - SUV off-road elektrik dengan enjin 1.5 liter sebagai unit penambah jarak

oleh Mohamad Hanif|
Seakan menjadi satu trend pula di mana kebanyakan pengeluar automotif dari China mula memperkenalkan jenama off-road masing-masing.

Sebuah lagi jenama baharu muncul yang bernaung di bawah Changan, iaitu Deepal yang memperlihatkan model SUV off-road dengan rekaan yang agak menarik dan mencuri tumpuan.

Walaupun di dalam segmen SUV off-road, Deepal G318 memperoleh namanya daripada sebatang lebuh raya yang menghubungkan wilayah Sichuan dengan Tibet.
 

Deepal


Ia membawakan ukuran dimensi hampir lima meter, dengan casis ladder-frame yang mampu menawarkan artikulasi roda yang lebih berkesan untuk pemanduan off-road.

Menurut laporan, Deepal G318 ini didatangkan dengan enjin 1.5 liter yang hanya bertindak sebagai unit penjana tenaga untuk kegunaan sepasang motor elektrik dan dua pilihan kapasiti bateri (19.0 kWh atau 28.4 kWh).

Ini bermakna, enjin tersebut tidak mempunyai hubungan mekanikal dengan mana-mana roda pada G318 ini.
 

Deepal


Gandingan dua motor elektrik itu mampu menghasilkan kuasa setinggi 258 hp, sementara jarak gerak pula mampu mencapai 515 km hingga 1,200 km untuk setangki minyak penuh.

Jenama Deepal dilancarkan secara rasmi pada tahun 2022, dan Changan mengesahkan perancangan untuk memasuki pasaran Asia dan Eropah dengan sasaran jualan tahunan sebanyak 450,000 untuk tahun ini.

Syarikat China itu juga telah melabur sejumlah £197 juta (RM1.2 bilion) untuk mendirikan kilang baharu di Rayong, Thailand yang akan menjadi lokasi pemasangan kenderaan pemanduan sebelah kanan dan kiri.
 

Deepal


Mereka menyasarkan kapasit pengeluaran tahunan sebanyak 100,000 unit untuk fasa pertama tahun 2025, dan meningkat kepada 200,000 unit untuk jangka masa yang lebih panjang.