Demi EV, Honda pun sanggup tukar CEO. Kita?

oleh HEZERI SAMSURI|
Baru-baru ini Honda Motor Co, syarikat automotif kedua terbesar di Jepun selepas Toyota telah melantik Ketua Eksekutif yang baharu, Toshihiro Mibe untuk menggantikan Takahiro Hachigo.

Mibe, 59, akan menjadi CEO Honda bermula April 1 dan menurut ramai pakar industri, ia adalah petanda awal Honda akan lebih fokus kepada kenderaan generasi baharu kerana Mibe sebelum ini ialah ketua Unit Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) untuk Honda.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Honda kini dalam usaha untuk mengejar pemain-pemain automotif Eropah yang sibuk ke arah kenderaan elektrik (EV).

Syarikat itu juga terpaksa berdepan dengan musuh-musuh bukan tradisional mereka, iaitu dari syarikat-syarikat teknologi seperti Tesla, Apple, Amazon dan Foxconn.

Buat masa sekarang, Honda cuma mempunyai satu kenderaan EV global, iaitu Honda e, sebuah kereta kompak yang comel dan mempunyai jarak perjalanan sejauh 220 km dengan sekali caj.

 

 

Honda e mungkin comel dan menarik perhatian anak-anak gadis serta teruna-teruna pencinta K-pop tetapi dengan jarak perjalanan sebanyak itu, ia lebih kepada sebuah EV untuk perjalanan singkat.

Walaupun Honda sudah mengumumkan ia akan berhenti menjadi pengeluar enjin untuk sukan Formula 1 bermula pada hujung tahun 2021, perjalanan jenama itu ke arah EV masih jauh.

Untuk menandingi Tesla dan lain-lain, Honda perlukan satu suntikan teknologi segera kerana selagi ia tidak menghasilkan model-model setanding dengan Tesla, maka selama itulah ia akan hilang pegangan dalam pasaran automotif yang semakin ke arah EV.

Pelantikan Mibe (gambar di bawah) memang wajar kerana beliau akan menyambung usaha-usaha Hachigo yang selama ini telah berjaya menurunkan kos pembuatan Honda di dalam dan di luar negara.

 

 

Pengalaman saya dengan Honda ialah ia sedikit berbeza dengan Toyota. Honda lebih berani dan lebih mudah berubah mengikut kehendak semasa.

Semasa saya melawat unit R&D Honda sebelum pelancaran global model Civic FD, saya diberi peluang untuk melihat keberanian Honda dalam mengubah konsep sedan segmen-C dengan model FD.

FD ketika itu mula menggunakan konsep cab-forward design, di mana ruang kabin lebih ke hadapan hinggakan tiang A berada hampir di atas roda depan.

Namun konsep itu berjaya dan Civic FD berjaya sebagai sebuah model global.

 

 

Satu lagi model yang membuktikan keberanian Honda ialah dengan model MPV Odyssey RB1. Honda mengambil keputusan untuk membina sebuah MPV yang rendah agar ia boleh menggunakan ruang parkir kereta di Jepun.

Malaysia menjadi antara negara pertama di luar Jepun yang menerima Odyssey dalam tahun 2004, dan akhirnya model itu popular sebagai sebuah "cult car" untuk peminat-peminat yang mahukan sebuah MPV yang dipandu seperti sebuah kereta, bukan kelihatan seperti sebuah peti sejuk dua pintu dengan roda.

Di Malaysia pula, ketika Honda datang dan bekerjasama dengan DRB-Hicom, ia menampilkan sebuah syarikat yang penuh dengan orang-orang muda. Kebanyakan dari mereka adalah muka-muka baharu di dalam industri tetapi dilatih dengan prinsip Honda.

Jumlah pekerja Honda Malaysia juga tidak seramai seteru utama mereka dari Jepun itu, tetapi terbukti mereka mampu menjadi juara jualan domestik sehingga sekarang (dalam segmen bukan nasional).

Saya juga bangga melihat anak-anak tempatan berjaya sampai ke luar negeri, hasil didikan Honda Malaysia. Peningkatan Honda di rantau Asia Tenggara membawa naik ramai nama-nama warga Malaysia, dan ini diketahui oleh pemain-pemain industri automotif. 

 

 

Berbalik kepada kenderaan elektrik, jika ada yang bertanya kepada saya jenama Jepun mana yang perlu diberi perhatian dalam perlumbaan EV ini, jawapan saya ialah Honda.

Bukan kerana netizen percaya jenama H ini mampu menarik gadis-gadis genit dan juga mungkin ibu mereka, tetapi kerana ia adalah bukti sebuah syarikat yang serius dalam usaha mereka untuk menjadi lebih berdaya saing.

Di mana ada usaha, di situ ada kejayaan. Yang mana duduk menunggu dan terpaksa mengorek-ngorek sejarah untuk mencari bukti kejayaan, bermakna mereka itu mungkin sedar kuasa yang ada sudah seperti telur di hujung tanduk.

Yang pasti rugi ialah rakyat.

Wallahuallam.

 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Ia hanya untuk pemilik individu dan bukan untuk kegunaan perdagangan seperti teksi, p-hailing dan…
Berita Domestik
Beliau berkata terdapat sasaran 10,000 kemudahan pengecasan EV di seluruh negara menjelang tahun…
Berita Global
Kuantiti kenderaan elektrik (EV) buatan China semakin meningkat apabila pembuat kereta dan pengedar…