Kedua-dua mangsa dikenal pasti sebagai Laga Tegong, 46 dan Sady Joe Liam, 26, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh anggota paramedik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akibat kecederaan parah.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 2.02 petang.
Menurutnya, sejurus menerima panggilan, sepasukan lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Siburan segera digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira sembilan kilometer dari balai.
“Jentera bomba tiba di lokasi pada jam 2.28 petang dan mendapati kedua-dua mangsa tersepit di bawah lori 10 tan ketika kerja membaiki brek sedang dijalankan.
“Komander operasi memaklumkan kerja menyelamat membabitkan penggunaan dua buah jentera jengkaut milik syarikat kuari bagi mengangkat bahagian sisi lori berkenaan,” katanya.
Menurutnya, mayat mangsa pertama berjaya dikeluarkan dari bawah lori pada jam 4.55 petang manakala mangsa kedua pula dikeluarkan sembilan minit kemudian, iaitu pada jam 5.04 petang.
“Mayat kedua-dua mangsa diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut,” katanya.
- salam takziah kepada keluarga mangsa yang terlibat -