"Siasatan awal mendapati sebuah kereta Nissan Sylphy dipandu lelaki warga Bangladesh berusia 39 tahun dari arah Program Perumahan Rakyat Batu Muda, telah hilang kawalan dan melanggar bahagian hadapan kanan sebuah Toyota Camry dipandu wanita warga Vietnam berusia 43 tahun yang datang dari arah Batu Kentomen.
"Kereta Nissan Sylphy itu kemudian merempuh seorang pejalan kaki sebelum terjunam ke bawah jambatan dan tersangkut di celahan konkrit serta saluran paip besi,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Mohd Zamzuri berkata pemandu Nissan Sylphy mengalami kecederaan dan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut, manakala mangsa pejalan kaki yang identitinya masih belum dikenal pasti disyaki terjatuh ke dalam sungai serta masih belum ditemukan.
Beliau berkata operasi mencari dan menyelamat sedang dijalankan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat dari Balai Sentul, Jinjang dan Hang Tuah bersama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dan JSPT Kuala Lumpur.
Mohd Zamzuri berkata siasatan lanjut mendapati kereta yang dipandu lelaki warga asing terbabit bukan miliknya dan polis sedang mengesan pemilik sebenar kenderaan terbabit untuk tindakan selanjutnya.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan lelaki warga Bangladesh akan ditahan untuk siasatan lanjut.