Diskaun saman 80% - Polis Pulau Pinang kutip hampir RM5 juta, Melaka RM2.54 juta

oleh SALINA JALIL|
gambar hiasan
Polis Pulau Pinang merekodkan kutipan bayaran saman hampir RM5 juta sejak pelaksanaan tawaran diskaun 80 peratus saman trafik sempena 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia bermula Khamis lepas hingga semalam.


Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Pulau Pinang, Supt Zafri Zokapli berkata dalam tempoh tiga hari, pihaknya mengutip hampir RM5 juta bayaran saman dan ketika ini keadaan di kaunter pembayaran saman terkawal serta tidak sesak dengan orang ramai berbanding dua hari pertama sebelum ini.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01

 

"Kutipan itu hasil bayaran saman yang diterima daripada orang ramai yang telah mengunjungi kaunter pembayaran saman di cawangan trafik di semua Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) negeri," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

 

Semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata tempoh tawaran diskaun pembayaran saman yang dijadual berakhir semalam, dilanjutkan sehingga 31 Dis ini bagi memberi masa lebih panjang untuk orang ramai menjelaskan saman.

 

Sehubungan itu, Zafri berkata polis menasihatkan orang ramai supaya mengambil peluang membayar saman mereka pada masa diskaun 80 peratus ini.

 

Menurutnya bagi mengelakkan kesesakan di kaunter trafik di IPD sehingga terpaksa beratur panjang, orang ramai boleh menjelaskan saman melalui portal dan aplikasi mudah alih antaranya MyBayar Saman, ATM Maybank dan Pejabat Pos Malaysia.

 

Sementara itu, Ahmad Ikhwan Ahmad Razif, 35, berterima kasih kepada pihak polis kerana melanjutkan tempoh diskaun 80 peratus dan membenarkan pembayaran saman menerusi beberapa saluran termasuk di pejabat pos.

 

Katanya ramai berasa lega apabila kaunter bayaran saman di IPD Timur Laut di sini tidak lagi sesak seperti dua hari lepas dan sistem pembayaran juga berjalan lancar.

 

"Saya cuba datang untuk bayar saman pada Sabtu dan Ahad lepas, tetapi ramai sangat yang beratur dan tidak larat menunggu giliran, jadi saya datang semula hari ini dan nampaknya orang tak ramai malah proses berjalan lancar," katanya.

 

Di MELAKA, polis di negeri ini mengutip bayaran saman lebih RM2.54 juta melibatkan 40,540 saman yang dibayar pesalah lalu lintas dalam tempoh empat hari bermula 9 Dis lepas.

 

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Melaka Supt Hasan Basri Yahya berkata daripada jumlah itu, sebanyak 32,043 saman terdiri daripada kesalahan di bawah notis POL 170A manakala 8,497 membabitkan saman POL 257.

 

Beliau berkata pembayaran saman tersebut dilunaskan di lima lokasi pembayaran yang dibuka di Melaka iaitu di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah, IPD Alor Gajah, IPD Jasin dan kiosk Pusat Transformasi Bandar (UTC).

 

"Sebanyak RM1.97 juta bayaran saman dikutip secara tunai manakala sebanyak RM563,200 dikutip secara dalam talian.

 

"IPD Melaka Tengah mencatatkan kutipan bayaran saman tertinggi iaitu RM885,590 diikuti IPK Melaka (RM581,320), IPD Alor Gajah (RM573,760), IPD Jasin (RM573,760) dan kiosk UTC (RM337,440)," katanya lagi. 

 

 

 

- BERNAMA

 

 

Berita Berkenaan

Informasi
Mohd Rashid Mohd Ridwan, 48, tidak melepaskan peluang merebut tawaran potongan 50 peratus kadar…
Berita Domestik
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata…
Informasi
Menurutnya, amalan pemberian diskaun saman trafik itu juga bukan perkara yang baik. "Malaysia…