Doktor mahu daftar GT-R untuk selamatkan nyawa pesakit, namun tidak diiktiraf pihak berkuasa

oleh Mohamad Hanif|
Dalam menjalankan tugas-tugas menyelamatkan nyawa manusia - tidak kira di hospital mahupun di tempat kemalangan, masa merupakan faktor yang sangat kritikal untuk setiap petugas kesihatan.

Disebabkan itu kita tidak seharusnya bertindak untuk menghalang laluan mana-mana kenderaan kesihatan yang sedang bergegas membawa pesakit, disebabkan mereka perlu menyelamatkan nyawa seseorang.

Di Australia, seorang doktor bernama Dr. Michael Livingston menggunakan kenderaan peribadinya - sebuah Nissan GT-R - untuk bergerak dari satu klinik ke satu klinik yang lain, dan dalam situasi kecemasan, beliau sememangnya perlu memandu pantas untuk menyelamatkan pesakit dan dalam masa yang sama tindakan ini meletakkan beliau di dalam risiko kemalangan.

Salah satu kes yang dikendalikan oleh beliau melibatkan seorang pesakit bronchitis berusia satu tahun, dan Dr. Livingston yang berada 30 minit dari tempat pesakit terpaksa memandu pantas bagi menyelamatkan nyawa bayi tersebut.

Mujur beliau selamat tiba di tempat kejadian dan bayi tersebut kini stabil.
 

Nissan GT-R
Nissan GT-R sebagai unit penghantar organ manusia


Di Australia, risiko kemalangan (dan mendapat saman halaju) sebenarnya boleh dikurangkan apabila sesebuah kenderaan tersebut diperakui sebagai salah sebuah kenderaan kecemasan.

Disebabkan itu, Dr. Livingston cuba memohon lesen Emergency Vehicle Status (EVS) untuk Nissan GT-R miliknya, di mana dengan adanya lesen ini membolehkan kelengkapan kecemasan seperti lampu strobe dan siren dipasang dan digunakan ketika berada di dalam situasi kecemasan.

Lesen khas ini juga memerlukan latihan khusus bagi mengendalikan situasi tertentu, dan ditambah pula dengan pengecualian daripada mematuhi sesetengah peraturan jalan raya.

Menurut laporan daripada ABC News, pihak Department of Transport Australia menolak permohonan tersebut atas alasan "pemandu lelaki lebih cenderung untuk memandu pada kelajuan tinggi dan menunjukkan kelakuan berisiko tinggi".

Wakil Department of Transport menambah, lesen tersebut sebenarnya hanya akan diluluskan sekiranya kenderaan tersebut merupakan sebahagian daripada armada perkhidmatan kecemasan negeri tersebut.

Salah satu contoh yang mungkin bertepatan adalah Nissan GT-R (gambar atas) yang diberikan peluang kedua sebagai unit penghantar organ manusia di Portugal.

Sumber: ABC News

Berita Berkenaan

Berita Domestik
  Rakannya, Mohd. Azwan Jusoh, 38, berkata, kenderaan mangsa dipercayai hilang kawalan dan…
Berita Domestik
  Dalam kejadian 10.35 pagi, mangsa yang maut dikenali sebagai Dr Nooranisah Mohd Razali, 31,…