Dongfeng BOX merupakan sebuah model kenderaan elektrik (EV) kompak pertama yang dibina menggunakan platform canggih Dongfeng Quantum Architecture S3.
Reka bentuk luaran menampilkan ciri-ciri yang minimalis, ‘clean’ dan juga moden selari dengan trend EV terkini selain bersaiz ‘nampak’ kecil sesuai untuk kegunaan urban.
Dongfeng BOX mempunyai ukuran dimensi kenderaan sepanjang 4020mm, lebar 1810mm, tinggi 1810mm dan ukuran jarak antara roda pada 2650mm yang pasti memberi ruang dalaman yang cukup luas.
Fakta menarik mengenai Dongfeng BOX ini adalah Malaysia merupakan negara pertama yang menerima model kenderaan ini untuk pemanduan sebelah kanan.
Berbalik pada model BOX ini, dari segi penampilan bahagian hadapan, ia menampilkan pencahayaan lampu hadapan sepenuhnya LED melintang yang menambah daya tarikan pada reka bentuk.
Walaupun dibangunkan sebagai kenderaan kompak, ia masih membawa ciri-ciri reka bentuk yang pasti akan menampakkan ia sebuah kenderaan dengan gaya moden futuristik.
Reka bentuknya menampilkan bumbung jenis terapung dengan kontras warna yang boleh dipilih mengikut kehendak pembeli samada warna putih mahupun mengikut warna badan kereta.
Ia termasuk juga dengan ciri pintu jenis frameless yang akan menampakkan ia lagi sebuah kenderaan yang mempunyai karakter seperti sebuah kenderaan mewah walaupun ia sebuah kenderaan kompak.
Pada bahagian belakang pula, ia juga menampilkan pencahayaan lampu belakang LED dan kontra warna antara pintu bonet dan bumper bawah yang menampakkan ia lebih mudah dikenali.
Untuk ruangan dalaman, ia masih mengekalkan ciri minimalis, namun lebih bergaya dengan karakter yang nampak ‘fashionable’ terutama sekali pada panel dashboard dan trim pintu.
Tambahan juga, ia turut menampilkan ruangan kompartmen pada panel dashboard dengan menggunakan mekanisma jenis drawer.
Selain itu, untuk menampakkan ia luas pada ruangan dalaman, ia menggunakan centre stack jenis ‘island’ yang dapat memberi ruangan untuk kaki pemandu lebih selesa dan luas.
Ia turut dilengkapi dengan teknologi seperti mod baring rata dengan satu butang untuk pemandu, skrin infotainmen jenis floating bersaiz 12.8 inci, serta pengecas tanpa wayar untuk telefon bimbit.
Tambahan itu juga, untuk memberi rasa keselesaan pada pemandu serta penumpang, BOX didatangkan dengan tempat duduk yang dibaluti dengan material kulit.
Sebagai info tambahan, pembeli bakal diberi pilihan untuk memilih warna pada ruangan dalaman, samada putih dan hitam, kelabu dan hitam atau ungu dan hitam (hanya untuk warna badan ungu sahaja).
Dongfeng BOX juga didatangkan dengan pilihan variasi warna iaitu putih, hijau, biru dan ungu.
Bagi warna luaran juga pembeli boleh memilih untuk mempunyai bumbung berwarna putih atau pun tidak.
Untuk kapasiti bateri, BOX menampilkan bateri Li-on dengan dua pilihan iaitu kapasiti bateri 31.45kWj yang memberi jarak gerak sehingga 330km dan juga 42.3kWj yang mempunyai jarak gerak sehingga 430km.
Pek bateri tersebut memberi kuasa pada motor tunggal yang memacu roda hadapan dengan kuasa output pada 94hp dan 160Nm serta mencapai kelajuan tertinggi pada 140kmj.
Selain itu juga, untuk prestasi pengecasan, ia mampu mengecas dengan pengecasan pantas DC dari 30 hingga 80 peratus hanya dalam 30 minit.
Untuk ciri pengalaman pemanduan serta keselamatan, ia dilengkapi dengan sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) aras dua, parkir automatik, Adaptive Cruise Control, 540 darjah pemandangan panorama serta fungsi Vehicle-2-load (V2L).
Dongfeng BOX dibangunkan, serta direka untuk golongan muda bandar dan keluarga yang menginginkan kenderaan serbaguna bagi keperluan harian.
Ia kini dijadualkan untuk dilancarkan secara rasmi pada suku keempat tahun 2024 oleh CADB.