“Susulan itu, aset bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan rondaan Op Patkor Optima telah diatur gerak bagi memintas bot berkenaan.
“Menyedari kehadiran aset penguat kuasa, bot pancung yang dilengkapi tiga enjin berkuasa tinggi itu telah bertindak agresif dengan merempuh sisi kiri bot operasi sehingga mengalami kerosakan teruk, sebelum mereka berjaya meloloskan diri,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Jelas beliau, kejadian itu mengakibatkan seorang anggota cedera di bahagian atas hidung manakala seorang lagi mengalami kecederaan di kaki dan tangan akibat hentakan.
Tambahnya, kedua-dua anggota telah dihantar ke Hospital Port Dickson untuk rawatan lanjut dan kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
“Bot yang membawa PATI itu dipercayai berpatah keluar dari perairan Malaysia selepas gagal melakukan pendaratan.
“Operasi pengesanan serta tindakan khas kini sedang giat dilaksanakan bagi menjejaki suspek dan rangkaian penyeludupan yang terlibat,” katanya.
Salehuddin berkata, Maritim Malaysia memandang serius cubaan penyeludupan manusia melalui laluan laut kerana ia bukan sahaja mengancam keselamatan negara, malah turut membahayakan nyawa PATI serta anggota penguat kuasa.
Jelasnya, insiden tersebut membuktikan bahawa tugas sebagai anggota penguat kuasa maritim adalah berisiko tinggi kerana sentiasa berhadapan dengan ancaman secara langsung di laut, termasuk dirempuh serta berdepan kemungkinan kehilangan nyawa ketika menjalankan amanah negara.
“Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti penyeludupan atau pendaratan PATI diminta menyalurkannya segera kepada Pusat Operasi Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan di talian 06-3876730 atau menghubungi talian kecemasan 999 bagi tindakan segera,” katanya.