Dua edisi khas sedan Toyota Crown dilancarkan untuk pasaran Jepun

oleh Mohamad Hanif|
Tidak seperti pengeluar lain yang mula mengabaikan genre sedan, Toyota masih lagi komited untuk menghasilkan kereta-kereta rekaan tiga kotak untuk pasaran.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Salah satu sedan yang masih lagi dihasilkan oleh Toyota adalah generasi ke-15 Toyota Crown, di mana Toyota telah mendatangkan dua buah edisi khas yang hanya dikhususkan untuk pasaran Jepun sahaja.

 


Versi yang pertama digelar sebagai RS "Limited II" di mana model ini adalah berdasarkan varian RS namun dengan tona yang lebih gelap pada bahagian luar (dalam warna Precious Black Pearl atau Precious Metal), diikuti kemasan gril dan perumah lampu kabus diawarnakan jet black.

Unit lampu depan dan belakang pula disaluti tinta gelap sementara set rim pula adalah bersaiz 18 inci yang eksklusif dan dibaluti tayar 225/45 R18.

Tema gelap itu diteruskan pada bahagian dalam yang menampilkan unsur jahitan kontras, tempat duduk dengan ciri ventilasi dan kemasan gun-metal pada bahagian papan pemuka dan konsol tengah.

 


Sementara model edisi khas yang kedua pula dinamakan sebagai S "Elegance Style III" yang dibangunkan berdasarkan trim S dan dibezakan menerusi pemakaian rim bersaiz 18 inci dengan kemasan metalik krom, serta penggunaan warna yang lebih cerah (Precious White Pearl atau Silver Metallic).

Kemasan ruang kabin pula didatangkan dengan upholsteri kulit berwarna perang dan dikemaskan dengan trim berunsurkan kayu.

Kedua-dua versi Crown ini didatangkan dengan unit trenkuasa hibrid 2.5 liter dengan angka output sekitar 222 kuasa kuda dan 221 Nm yang dipadankan dengan transmisi CVT, di mana kuasa disalurkan ke roda belakang atau semua roda.

 


Harga jualan di Jepun bermula dari 5,230,000 yen untuk versi RS "Limited II" (5,670,000 yen untuk versi AWD) manakala versi S "Elegance Style III" pula bermula dari 5,290,000 yen untuk versi RWD atau 5,510,000 yen untuk versi AWD.

Meskipun Toyota masih lagi komited untuk menghasilkan sedan, realitinya angka jualan Toyota Crown jatuh merudum sehinggakan terdapat beberapa laporan yang mencadangkan Toyota akan menjelmakan semula Crown sebagai sebuah SUV.

Sementara di China, nama Toyota Crown nampaknya telah dijelmakan semula sebagai sebuah SUV (Crown Kluger) dan juga MPV (Crown Vellfire).

Baca: Toyota Crown Kluger

Baca: Toyota Crown Vellfire

 

Toyota Crown RS "Limited II"

 

Toyota Crown S "Elegance Style III"

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Daripada jumlah tersebut, Proton Saga masih lagi kekal sebagai model Proton yang paling laris…
Berita Global
Untuk itu, divisyen R3 Motorsports yang kini berada dibawah naungan Proton Global Services (PGS)…
Berita Global
Model segmen C Skoda ini masih lagi mengekalkan bentuk badan sedan (Limo) dan wagon (Combi) untuk…