Dua penuntut UnIPSAS maut, kemalangan dengan ambulans

oleh Penyumbang Rencana|
Dua pelajar Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) maut selepas motosikal ditunggangi mereka terbabit dalam kemalangan dengan sebuah ambulans di persimpangan lampu isyarat berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Paya Besar, Jalan Gambang, pada Selasa.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuantan, Superintendan Mohd Adli Mat Daud, berkata mangsa ialah Muhammad Zuhair Rifqi Abdul Jalil, 21, dan Muhammad Firdaus Mohammad Zamri, 22.

“Siasatan awal mendapati van ambulans dalam perjalanan membawa pesakit dari arah Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) ke arah Bukit Rangin kira-kira jam 11 pagi.

“Ketika ambulans membelok ke kanan di persimpangan lampu isyarat dengan menggunakan siren, sebuah motosikal dari arah Gambang, di sini dipercayai melanggar ambulans.

“Akibat kemalangan itu, penunggang motosikal maut di tempat kejadian, manakala pembonceng motosikal disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di HTAA.

“Pemandu ambulans berusia 49 tahun bersama pembantu ambulans berusia 43 tahun mengalami kecederaan dan menerima rawatan di hospital,” katanya.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

- salam takziah kepada keluarga mangsa yang terlibat -

Bernama

Berita Berkenaan

Berita Global
Menurut laporan GridOto, EV lima pintu diberikan nama Daruna itu dibangunkan oleh pasukan Arjuna EV…